Pemilihan UMNO 2023: Tataetika Mudahkan Tambah Baik Imej Parti

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang menawarkan diri pada musim pemilihan ini untuk mematuhi segala tataetika ditetapkan bagi menambah baik imej parti.

Jelasnya, sebagai orang politik sudah semestinya mereka perlu memahami dan mematuhi segala larangan serta ketetapan dibuat bagi memudahkan proses pemilihan barisan kepimpinan baharu parti.

“Saya perlu mengingatkan calon-calon yang menawar diri untuk jawatan-jawatan di peringkat sayap, bahagian mahupun pusat supaya memahami ketetapan tataetika UMNO. Ia bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa dan mirip dengan segala sekatan serta larangan dikenakan semasa pilihan raya di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebagai orang politik sudah semestinya mereka perlu mematuhi dan memahami segala sekatan serta larangan di bawah SPR. Ia tidak lebih daripada sekatan dan larangan yang ada di bawah SPR ketika mengendalikan urusan pilihan raya di peringkat negeri serta pusat.

“Sebab itu, pemimpin-pemimpin UMNO sebagai sebuah parti politik haruslah memahami tentang kaedah, larangan, sekatan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) dan juga rasa selesa dengan tataetika UMNO itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pematuhan kepada tataetika yang telah ditetapkan oleh parti akan membantu untuk menambah baik imej parti dan melahirkan barisan kepimpinan dihormati.

“Kita sudah pun memberi kelonggaran seperti yang diberikan oleh SPR umpamanya untuk menggunakan media sosial dan kemudahan internet bagi menyatakan tawaran serta memperkenalkan diri kepada para perwakilan.

“Oleh sebab itu saya berharap bahawa ianya tidak dilihat sebagai satu sekatan ataupun halangan bagi kemunculan tokoh-tokoh yang bakal memimpin UMNO di beberapa peringkat. Lagi kita patuh kepada tataetika, lagi mudah proses kemunculan pemimpin-pemimpin yang dihormati dan memberi imej yang baik kepada UMNO itu sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa dua bahagian yang ditangguhkan perwakilan mereka iaitu Kota Kinabalu dan Tanah Merah akan membentuk perwakilan mereka selepas bulan Ramadan.

“Untuk makluman bagi semua yang mengikuti dan ingin mengetahui tentang proses pemilihan UMNO, dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Kota Kinabalu dan juga UMNO Bahagian Tanah Merah telah ditangguhkan perwakilan bahagian masing-masing di peringkat sayap dan juga di peringkat bahagian.

“Mereka akan mengadakan perwakilan masing-masing, diuruskan oleh pihak Perhubungan UMNO Negeri. Ini bermakna bahawa kedua-dua bahagian ini tidak akan terlibat dalam pemilihan di peringkat kebangsaan.

“Mereka akan mengadakan perwakilan selepas bulan Ramadan. Ini adalah satu keputusan kita ambil berasaskan kepada tahap bantahan dan juga keadaan yang memerlukan supaya ditangguhkan perwakilan bahagian tersebut,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit