Demokrasi UMNO Terus Subur, Tidak Pernah Ketandusan Pemimpin – Hasni

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Hasni Mohammad berpendapat bahawa demokrasi dalam parti terus subur dan UMNO tidak ketandusan pemimpin.

Jelasnya, Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023 yang telah berlangsung dengan baik di beberapa buah negeri menunjukkan kesungguhan parti dalam membariskan barisan pemimpin berkaliber dan mempunyai pelbagai latar belakang.

“Setakat ini proses pengenalan calon berjalan dengan baik dan ianya menghidupkan suasana demokrasi dalam parti.

“Apa yang paling penting ialah kita dapat melihat bahawa di dalam UMNO ini kita tidak pernah kekurangan tokoh pemimpin untuk diketengahkan.

“Untuk itu, saya amat percaya bahawa Majlis Pengenalan Calon ini bukan hanya untuk mereka yang menawarkan diri tetapi juga sebagai satu gambaran terhadap kesungguhan parti dalam membariskan pemimpin-pemimpin mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang mencalonkan diri bertanding bagi pemilihan kali ini untuk jawatan Naib Presiden UMNO dengan nombor lapan itu turut yakin bahawa orang perjuangan tidak akan pernah meninggalkan parti meskipun tidak terpilih menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan.

“Saya percaya bahawa demokrasi ini terus subur dalam parti. Jadi, tidak usah dibimbangkan tentang mereka yang nak meninggalkan parti.

“Kalau mereka menang dan nak meninggalkan parti, mereka tetap akan berbuat sedemikian. Kita dah pernah lalui pengalaman tersebut sebelum-sebelum ini,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.