Perjuangan Tetap Relevan, Akar Umbi Mahu UMNO Bangkit, Jadi Harapan Rakyat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin bahawa perjuangan UMNO tetap relevan malah menjadi harapan rakyat khususnya akar umbi agar parti ini bangkit kembali.

Katanya, dalam musim pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 kali ini ramai yang menawarkan diri yang secara tidak langsung menunjukkan suburnya demokrasi di dalam parti.

“Jelas juga menunjukkan bahawa UMNO ini masih relevan walaupun baru-baru ini kehilangan banyak kerusi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan ini juga menunjukkan bahawa UMNO akan bangkit semula.

“Saya percaya dan yakin selepas pemilihan ini maka kepimpinan parti akan bergabung dan bersatu untuk memastikan UMNO kembali kukuh.

“Saya tak nafikan ramai yang masih berharap pada UMNO. Kalau saya lihat di Pahang, mana-mana saya pergi mereka masih yakin dan menaruh harapan pada UMNO, mereka nampaknya tidak putus asa malahan memberi sokongan yang padu untuk UMNO kembali kuat. Ramai yang datang untuk memberi sokongan yang ini jelas menunjukkan bahawa mereka berharap pada UMNO,” katanya kepada UMNO Online

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang turut mencalonkan diri bertanding bagi pemilihan kali ini untuk jawatan Naib Presiden UMNO dengan nombor 5.

Kata Wan Rosdy, memang tidak dapat nafikan bahawa pada PRU ke-14 UMNO kekurangan kerusi yang kemudian menghadapi banyak masalah.

“Ini apabila ahli Parlimen yang bertanding atas tiket Barisan Nasional/UMNO telah melompat ke parti lain dan PRU baru-baru ini pun tsunami lagi, kita masih terhakis sokongan.

“Tapi ini tidak menjejas dan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan dapat kita lihat apabila berlakunya pemilihan pada kali ini sambutannya agak menarik, ramai yang menawarkan diri dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kita ingin melihat supaya UMNO ini bangkit semula.

“Sepertimana yang dijangka oleh ramai pihak bahawasanya UMNO akan menjadi lebih pudar dan layu apabila telah kehilangan banyak kerusi tetapi yang berlaku sebaliknya malah ramai yang mahukan UMNO bangkit kembali.

Jelasnya, ini merupakan satu signal yang sangat baik kepada UMNO untuk bangkit semula dan ahli-ahli UMNO di akar umbi masih lagi kukuh yakin dengan perjuangan UMNO.

“Perjuangan UMNO ini adalah untuk agama, bangsa dan negara dan kita juga yakin bahawa UMNO ini masih relevan di kalangan rakyat.

“UMNO ini adalah sebuah parti yang banyak sejarah dan sebab itulah yang dikatakan UMNO ini parti keramat di sebalik dugaan dan cabaran malah sebelum ini pun UMNO pernah diharamkan tapi UMNO bangkit semula.”

Katanya, walaupun ada usaha-usaha tertentu untuk menghapuskan UMNO tetapi ianya tidak berjaya.

“Walaupun ditekan, diasak tetapi UMNO masih tetap bertahan dan saya percaya ini adalah kerana kita punya organisasi lebih berstuktur dan ahli pun ramai, jenteranya sangat baik cuma kadang-kadang ada masalah dalaman.

“Masalah dalaman ini harus kita minimakan, kalau tidak susah untuk kita bangkit kembali. Musuh kita di luar sana yang harus kita tangani,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.