Pemilihan UMNO: JPU Putuskan Lanjut Tempoh Masa Undi Bagi Bahagian Terjejas Banjir


KUALA LUMPUR, 9 Mac – Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa pengundian sehingga jam 7.00 petang bagi bahagian-bahagian yang terkesan akibat banjir.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata, bagi bahagian Rompin, JPU telah membuat cadangan agar perwakilan mereka diadakan di dua tempat yang berasingan.

“Bagi bahagian-bahagian yang tidak mempunyai masalah dalaman atau urusan pentadbiran pemilihan, tetapi terganggu oleh keadaan banjir seperti di negeri Pahang dan juga negeri Johor, pihak JPU telah membuat cadangan kepada bahagian Rompin untuk membenarkan perwakilan diadakan di dua tempat yang berasingan.

“Ini bermakna adanya kita akan tambah pemantauan dan penyelarasan daripada JPU. Tetapi, kami yakin bahawa ia dapat dilakukan dengan sempurna dan tersusun apabila perwakilan mereka diadakan di dua tempat yang berasingan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, katanya kaedah pelanjutan tempoh masa mengundi bagi bahagian-bahagian yang terkesan juga akan diguna pakai sekiranya musibah tersebut masih lagi berlarutan sehingga 18 Mac.

“Bagi bahagian-bahagian yang terkesan akibat keadaan banjir seperti Parit Sulong, JPU telah memutuskan bahawa tempoh masa untuk mengundi boleh dilanjutkan sehingga jam 7.00 petang bagi membolehkan seberapa ramai perwakilan menyertai pemilihan UMNO di peringkat sayap di bahagian mereka.

“Sekiranya keadaan itu berlarutan juga sehingga 18 Mac, kaedah sama boleh juga dipakai oleh bahagian Parit Sulong atau bahagian-bahagian lain untuk keselesaan dan untuk melancarkan pengundian bolehlah diadakan tempoh pemilihan sehingga jam 7.00 pada hari yang sama.

“Kita tidak boleh mengalihkan daripada tarikh perwakilan sayap yang telah ditetapkan pada 11 Mac dan 18 Mac bagi bahagian tetapi proses pengundian itu boleh dipanjangkan sehingga jam 7.00,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.