Mohd Lassim Pasrah Lupakan Seketika Kempen Pemilihan, Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Lassim Burhan terpaksa pasrah tidak dapat hadir ke kebanyakan Majlis Pengenalan Calon yang diadakan baru-baru ini kerana membantu menguruskan mangsa banjir di Johor.

Beliau yang juga Timbalan Ketua dan calon Ketua UMNO Bahagian Sri Gading berkata, sebagai pemimpin akar umbi, beliau bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan ahli dan rakyat yang terjejas akibat musibah banjir khususnya di Sri Gading dan kawasan sekitar.

Untuk rekod, banjir besar kali ini lebih buruk daripada banjir pada tahun 2006 yang lalu dan dijangka berlarutan sehingga pertengahan Mac nanti.

Walaupun tidak dapat bersama di dalam majlis-majlis pengenalan calon di peringkat negeri-negeri, beliau juga berazam untuk meneruskan kempen di media sosial dan rangkaian sahabat serta yakin perwakilan seluruh negara juga turut bersimpati dan mendoakan bencana banjir di Johor akan pulih dengan segera.

Beliau bertekad untuk membuktikan UMNO terus menjuarai politik khidmat bakti kepada rakyat.

Selain daripada menawarkan peremajaan kepada parti pada pemilihan kali ini, beliau juga menawarkan diri untuk berkongsi inspirasi dan aspirasi dengan berbekalkan pengalaman hampir lebih 23 tahun menjadi pimpinan akar umbi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut terjejas teruk dalam bencana banjir besar di Johor pada kali ini adalah kawasan Segamat, Labis, Parit Sulong dan Kluang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.