Kes Rasuah: PN Jangan Salahkan Pihak Lain – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta agar para pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa untuk tidak menyalahkan pihak lain di atas kesalahan mereka lakukan.

Jelasnya, dakwaan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kononnya pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi dalang terhadap pertuduhan tersebut ternyata tidak benar sama sekali.

“Tadi Azmin kata pemimpin UMNO/BN termasuk saya yang kononnya jadi dalang penangkapan pemimpin-pemimpin PPBM atas kes rasuah.

“Ini kata Azmin sebab saya telah bagi amaran yang mereka (pemimpin-pemimpin) PPBM akan jadi kluster mahkamah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Isham, beliau sudah menjangkakan daripada awal lagi bahawa mereka ini akan terpalit dengan gelaran kluster mahkamah dan menyarankan mereka untuk menjawabnya di muka pengadilan.

“Azmin, saya sudah cakap yang kamu dan kawan-kawan kamu akan jadi kluster mahkamah 2.0 sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lagi. Cuba lihat video-video ucapan saya tahun lepas.

“Masa itu, puak-puak kamu tidak perasan sebab mungkin sedang sibuk sakau duit rakyat berbilion ringgit. Kini kamu kena jawab di muka pengadilan dan tidak boleh lari lagi

“Jangan salahkan sesiapa apabila kamu ditangkap makan rasuah. Karma dan kifarah itu benar,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Azmin Ali berkata surat tuntutan yang dikeluarkan Barisan Nasional (BN) kepada beliau dan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan bagaimana BN menggunakan statusnya untuk mengancam pembangkang dengan tindakan undang-undang.

Surat tuntutan tersebut adalah berhubung dakwaan bahawa tuduhan terhadap pemimpin partinya didalangi oleh pengerusi BN dan presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.