Kekuatan Dan Kesatuan UMNO Dicemburui, Diperlihatkan Sebagai Roh Perjuangan – Megat Zulkarnain

SHAH ALAM, 9 Mac – Meskipun UMNO diuji dengan penolakan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15, parti itu tetap dicemburui oleh pihak lawan disebabkan keutuhan serta kesatuan yang ditunjukkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin berkata, UMNO bukanlah sebuah parti yang dibina atas dasar dengki, khianat dan merajuk bahkan untuk mengangkat maruah bangsa.

“Sesungguhnya kita berada dalam suasana pemilihan parti. Macam-macam kata-kata dilontarkan. Namun ianya membuktikan bahawa UMNO ini bukan ditubuhkan di jalanan, atas sifat dengki, khianat dan merajuk.

“Parti ini dibina atas dasar mengangkat dan membela bangsa, agama dan negara. Parti kita sering dicemburui.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersungguh-sungguh cakap pasal UMNO di Dewan Rakyat. Ini membuktikan bahawa parti ini masih lagi dicemburui kerana memperlihatkan keutuhan dan kesatuan sebagai roh perjuangan,” katanya ketika Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 di sini malam tadi.

Di samping itu, beliau turut berharap agar pemilihan kali ini tidak menyebabkan perpecahan dan para perwakilan kembali bersatu, memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Biarlah mereka nak kata apa, kita jalan terus untuk bina semula parti. Selamat maju jaya kepada semua calon. Saya doakan apa pun keputusan pertandingan ini, kita diibaratkan seperti air di dalam gelas.

“Biarlah berkocak mahupun mempunyai pendukung masing-masing. Kita nak pilih paling terbaik daripada yang terbaik. Selesai pemilihan kelak, kita kembali menyatukan silaturahim kerana di Selangor PRN menjadi keutamaan kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak itu turut membawa hasrat agar Selangor kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas PRN kelak.

“We must come back as a part of government. That is our goal. Tidak guna kita menang sorak, kampung tergadai.

“Kita akan buktikan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kita boleh menang dalam PRN di negeri Selangor. Pada PRN ini kita akan menangi seberapa banyak kerusi yang kita mampu.

“Sempena Pemilihan UMNO 2023 ini, saya doakan agar kita dapat bersama-sama memilih barisan kepimpinan yang terbaik dan membina semula UMNO pada masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.