Rejuvenasi UMNO Perlu Dilaksana, Anak Muda Mahu Lihat Pengharapan Baharu

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Proses rejuvenasi UMNO perlu dilaksanakan segera terutamanya selepas musim pemilihan kerana anak muda mahu melihat satu pengharapan baharu dalam parti politik itu.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, ini adalah masa yang paling sesuai apatah lagi kepercayaan rakyat terhadap UMNO mestilah dikembalikan terutamanya daripada anak-anak muda.

“Rejuvenasi UMNO harus dan wajib untuk kita laksanakan kerana kita telah terima dua isyarat daripada rakyat yang kita ditolak oleh orang muda. Mereka mesti mahu melihat satu pengharapan baharu. The new hope, the new approach, the new norms of politics dan politik yang berasaskan nilai. Sebab itu kita fikir, tidak ada pilihan kedua.

“Ini adalah masa yang paling sesuai dan jika bukan sekarang, kita mungkin akan terlepas daripada mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO. Itu memberi sebab yang paling kukuh mengapa proses demokrasi hari ini sangat diperlukan dan kita perlu pastikan agenda rejuvenasi dapat dijayakan.

“Ianya mesti dijayakan oleh generasi kini dan generasi akan datang. Ianya tidak boleh dijayakan oleh generasi terdahulu. Maka atas sebab itu saya fikir jika kita tengok line-up pada barisan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, banyak orang muda. Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan selepas pemilihan ini, proses rejuvenasi akan berlaku secara besar-besaran,” katanya kepada UMNO Online.

Menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada musim pemilihan kali ini, Farhan turut mengakui bahawa keadaan politik semasa memaksa dan memerlukan seseorang daripada generasi muda untuk membawa perubahan kepada parti.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan menawarkan diri bertanding secepat ini dalam situasi begini. Tetapi keadaan politik semasa memaksa dan memerlukan seseorang daripada generasi kita untuk bertanggungjawab, mengambil tempat serta membawa perubahan daripada dalam UMNO itu sendiri.

“Dari pentas mahasiswa ke pentas nasional ini saya rasa banyak yang berbeza dari sudut sistem, struktur bagaimana kita nak mendekati pengundi, citarasa pengundi juga berbeza antara mahasiswa dan ahli parti.

“Tetapi, berbekalkan sedikit pengalaman berpencak dengan demokrasi di kampus dan beraksi di pilihan raya serta pemilihan lepas maka ianya memberikan saya sedikit kekuatan serta persediaan untuk berhadapan dengan Pemilihan UMNO kali ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.