Pemilihan UMNO: Teruskan Perjuangan Bersama UMNO – Yakub Khan

KOTA KINABALU, 8 Mac – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan mengingatkan semua calon-calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 untuk kekal dalam perjuangan parti sekalipun selepas ini tewas dalam pertandingan.

Ini kerana katanya, yang menang tidak menang semua dan kalah pun sedemikian maka sewajarnya teruskan perjuangan bersama-sama.

“Bagi kami di Sabah kalau tak boleh diberi peluang semuanya janganlah dibuang semuanya.

“Pesan pada mereka yang bertanding pula… yang menang tidak akan menang semuanya dan yang kalah pula tak akan kalah semuanya. Yang kalah janganlah meninggalkan parti khususnya di Sabah… janganlah yang kalah ini tinggalkan perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat Negeri Sabah, di sini, malam tadi.

Beliau juga memaklumkan bahawa daripada 25 bahagian di Sabah, lapan bahagian ketuanya menang tanpa bertanding.

Untuk rekod, bulan lalu telah selesai diadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Cawangan serta pemilihan jawatankuasa bagi setiap peringkat.

Pada 11 Mac ini, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan jawatankuasa di peringkat bahagian dan pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara.

Begitu juga Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.