Sambut Baik Moratorium Untuk Mangsa Banjir Johor – Hairi

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Exco Belia Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyambut baik dan menyokong penuh usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membantu rakyat iaitu memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Ini kerana katanya, ramai mangsa banjir yang terpaksa menanggung kerugian besar termasuk kerosakan harta benda serta kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan akibat bencana tersebut.

Jelasnya dalam satu kenyataan, bencana itu sudah pasti memberikan impak yang cukup besar bagi mangsa banjir ini terutama sekali kewangan.

“Saya yakin inisiatif pengecualian bayaran atau moratorium tiga hingga enam bulan akan menjadi khabar gembira dan membolehkan peniaga-peniaga terkesan menarik nafas lega serta mampu mengumpul semula modal pusingan untuk mereka bertapak semula memulihkan perniagaan mereka.

“Umum ketahui Negeri Johor dilanda bencana banjir luar biasa yang menyaksikan lebih 50,000 mangsa terjejas di semua 10 daerah. Musibah ini tentunya satu dugaan dan cabaran buat semua mangsa-mangsa yang terkesan khususnya buat peniaga-peniaga dan belia di negeri ini.

“Saya percaya Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia boleh memikirkan dan menggunakan mekanisme sesuai bagi membolehkan pelaksanaan ini dibuat. Antaranya meminta pemohon yang ingin memohon penangguhan bayaran mengemukakan bukti atau dokumen sokongan daripada ketua kampung atau penghulu yang mengesahkan mereka terkesan dengan bencana banjir,” tambah Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor.

Keadaan banjir di Johor semakin buruk akibat peralihan monsun pada Januari hingga awal Februari lalu dan menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan beberapa daerah hujan berterusan dan berada ditahap waspada.

Mangsa banjir di Johor kini ditempatkan di 268 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.