Khaled Nordin Seru Jadikan Pemilihan UMNO Sebagai Medan Penyatuan

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak ahli dan akar umbi untuk menjadikan Pemilihan UMNO pada kali ini sebagai medan penyatuan.

Jelasnya, peluang ini perlu digunakan sebaiknya untuk menguatkan dan mengukuhkan parti, bukannya bagi mencetuskan perpecahan.

“Pemilihan UMNO kali ini mesti kita jadikan medan untuk menyatu. Bukan untuk memburukkan lagi perpecahan antara kita.

“Kita perlu bersama-sama menguat dan mengukuhkan parti. Gunakanlah hak kita dengan cermat, teliti dan bijaksana,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO pada musim pemilihan kali ini dengan memegang nombor calon tujuh, Mohamed Khaled membawa tekad untuk mengembali kepercayaan dan memulihkan keyakinan.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.