Jangan Tukar Kerajaan Untuk Lepaskan Tengkuk Sendiri – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berkias untuk menjatuhkan dan menukar kerajaan demi untuk lari daripada pendakwaan sedang dihadapi.

Jelasnya, kenyataan tersebut sedikit sebanyak menunjukkan bahawa beliau tidak kisah akan titah Yang di-Pertuan (YDP) Agong dan ketidakstabilan politik yang akan memberikan banyak impak negatif kepada negara.

“Ini Haji Hadi. Semalam dia berkias sedang merancang ingin jatuhkan dan tukar kerajaan. Dia ingin tubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’. Dia tidak kisah titah YDP Agong dan tidak kisah jika politik Malaysia tidak stabil, pelabur lari serta rakyat hilang kerja.

“…yang penting dia boleh tubuh kerajaan. Mungkin supaya dia dan kawan-kawan boleh lepas pendakwaan. Sebab sekarang mereka sedang panas dan berpeluh oleh siasatan kes rasuah projek serta rasuah pengundi oleh PN,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Isham, sebelum ini mereka ingkar dengan titah YDP Agong untuk membentuk kerajaan disebabkan ego dan pada kali ini mereka mahu meruntuhkan kerajaan yang telah terbina.

“Dulu YDP Agong sudah titah untuk kamu bentuk Kerajaan Perpaduan. Tetapi oleh sebab ego kamu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin, kamu ingkar sebab tidak mahu jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Kini selepas kamu disiasat baru kamu menggelupur mahu pula jadi kerajaan sebab kamu takut masuk penjara jadi tahanan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut menyarankan pemimpin-pemimpin PN yang terpalit dengan kes rasuah untuk membersihkan nama mereka di mahkamah dan tidak meruntuhkan kerajaan bagi melarikan diri.

“Tak usahlah menukar dan meruntuhkan kerajaan dengan alasan nak melepaskan tengkuk. Saya sarankan kepada mereka supaya pergi mahkamah. Tidak apa jadi kluster mahkamah. Dahulu orang UMNO pun dituduh macam-macam dan kita bersihkan nama kita di mahkamah.

“Jadi kali ini, mereka kena jawablah 17 bulan semasa dalam kerajaan tu apa yang telah dilakukan. Dulu mereka kata, mereka ini bersih dan stabil rupa-rupanya mereka buat ‘direct nego’ untuk projek-projek dan selepas itu ambil rasuah, ‘suap’ pengundi pula. Kalau kita biarkan perkara ini berlaku ke manakah hala tuju negara ini?” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas, mengakui ada ‘usaha’ sedang dijalankan PN dan parti komponen di blok pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menurut Abdul Hadi, berdasarkan sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, usaha tersebut boleh dilakukan sama ada menerusi undi tidak percaya ataupun melalui Surat Akuan Berkanun (SD). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.