Jadikan Pemilihan Parti Angkat Aspirasi UMNO Dalam Semangat Kekeluargaan – Jamal Nerubi

PAPAR, 7 Mac – Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian dan juga pemilihan di peringkat pusat bagi sayap parti itu akan berlangsung pada Sabtu, 11 Mac ini.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berkata pemilihan UMNO seharusnya diangkat menjadi aspirasi penguat semangat dan memperkukuh silaturahim kerana ia adalah proses melengkapkan barisan kepimpinan untuk parti meneruskan perjuangan.

“Inilah adalah pemilihan dalam keluarga besar UMNO iaitu untuk melengkapkan barisan terbaik dalam meneruskan hala tuju perjuangan setelah kita semua melalui cabaran termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“UMNO memerlukan pilihan terbaik dengan kepimpinan yang sentiasa bersedia melaksanakan tugas dan amanah maka menjadi tugas para perwakilan akar umbi untuk laksanakan tanggungjawab bagi membuat pilihan untuk barisan kepimpinan akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau yang mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Papar tanpa sebarang pertandingan memaklumkan bahawa keutamaan bagi UMNO adalah untuk kembali kukuh, meraih sokongan rakyat dan meyakinkan pengundi bagi mendepani masa akan datang.

“Apabila kita kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, ramai yang menyangka bahawa UMNO akan berkubur namun pemilihan ini menolak pelbagai sangkaan negatif terhadap parti ini malah sebaliknya ramai yang tampil mencalonkan diri untuk sama-sama mengangkat perjuangan.

“Bukan sahaja barisan kepimpinan jawatankuasa di akar umbi malah sehinggalah kepada jawatan tinggi di pusat ramai yang mencalonkan diri dan bersedia untuk menggalas perjuangan UMNO.

“Apabila ramai yang mencalonkan diri dalam pemilihan ini di maka ia adalah petanda yang amat baik buat UMNO malah menjadi bukti bahawa UMNO tetap menjadi pilihan khususnya sebagai platform bagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.”

Justeru katanya, pemilihan ini adalah ruang terbaik memperkukuh perpaduan dengan semangat kesatuan diangkat sebagaimana cogan katanya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Dalam pemilihan ada pertandingan maka sudah tentu akan ada yang kalah dan akan ada yang menang namun kita perlu sentiasa berfikiran terbuka kerana yang menang tak menang semua dan yang kalah tak kalah semua juga, kita perlu terus bersama saling mendukung dan menyokong.

“Apa yang penting adalah usaha mengembalikan kekuatan dan sokongan kepada UMNO perlu terus diangkat dan kita sama-sama mengharungi pelbagai cabaran masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah berlangsung lancar pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.