Puteri Bawa Peranan Tersendiri, Perkasa UMNO Demi Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pergerakan Puteri UMNO berupaya dalam membawa peranan tersendiri bagi memperkasa parti keramat ini secara berterusan demi perjuangan agama, bangsa dan negara.

Reena Awliyatul Imani Reezal Merican yang merupakan calon Exco Puteri UMNO Malaysia berkata perkara itu mampu direalisasikan melalui kepimpinan baharu yang akan ditentukan pada Pemilihan UMNO sesi 2023/2026.

“Kita hendak bawa muka baharu dengan intipatinya menunjukkan bahawa parti UMNO ini masih relevan serta berupaya untuk menjadi yang lebih baik. Kita tutup buku lama dan buka yang baharu.

“Dengan tahun yang baharu, pemilihan yang baharu dengan membawa idea segar… itu yang perlu kita angkat. Harapnya segala perwakilan memilih berdasarkan nilai-nilai yang dibawa,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu, Reena Awliyatul berkata Pemilihan kali ini memberi signifikannya yang tersendiri termasuk semangat kekeluargaan dibawa dalam kalangan Puteri.

“Dengan nilai yang kita bawa, niat untuk menaikkan wanita-wanita muda bagi membawa aspirasi baharu bahawa Puteri ini bukan hanya cheerleader semata-mata, bukan sayap paling bongsu sahaja, kerana Puteri UMNO ini sama tahap dengan yang lain dan mungkin dengan yang lebih hebat.

“Inilah masa untuk kita bersuara, gegarkan pentas-pentas UMNO tidak kisah menang kalah itu lain kerana ia adalah adat bertanding,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.