Pemilihan UMNO Kesungguhan Parti Laksana Perubahan Pasca PRU – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pemilihan UMNO kali ini dilihat ramai sebagai titik penentu kepada kesungguhan parti yang mahu berubah selepas mengalami kekalahan di dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu 14 dan 15, kata Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hasan.

Katanya, sudah pasti para perwakilan di semua peringkat termasuk di sayap-sayap parti mahukan mereka yang menawarkan diri untuk mengisi jawatan utama parti khususnya Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh membantu Presiden dan Timbalan Presiden ke arah mempersiapkan parti untuk PRU ke-16.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) selama ini menjadi pemangkin kebangkitan parti pasca 2018. Pemuda UMNO Malaysia mendukung kemenangan di siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) serta melahirkan ramai wakil-wakil rakyat baharu serta muda untuk parti.

“Maka atas semangat dan pengalaman yang ada, Pemuda UMNO era ‘Bangkit Kembali’ tampil untuk menawarkan beberapa pimpinan Pemuda dikalangan Exco dan Ketua Pemuda Negeri (KPN) bagi mengisi jawatan parti penggal 2023/2026.

“Berbekalkan pengalaman, rangkaian sahabat dan rekod perkhidmatan bersama parti, mereka ini diyakini berkemampuan meneruskan kesinambungan kebangkitan dan rejuvenasi parti dengan imej segar dan bersih melalui pengharmonian era ‘Bangkit Kembali’ di platform membuat keputusan tertinggi UMNO,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Justeru kata Hasmuni lagi, beliau mewakili sahabat-sahabat yang lain memohon sokongan dan dukungan semua perwakilan sekaligus beri keyakinan pada peringkat tertinggi UMNO.

“Saya mohon sokongan dan dukungan para perwakilan untuk mengundi kami sekaligus memberikan keyakinan baharu kepada MKT UMNO bagi penggal 2023-2026 bagi merintis kepada kemenangan penting dalam PRU-16 kelak,” katanya lagi.

Berikut adalah senarai nama-nama Pemuda UMNO yang bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dan MKT UMNO 2023/2026.

Timbalan Pengerusi Tetap – Mohd Hafeez Che Mat; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO – Mohd Lassim Burhan, Hasmuni Hassan, Mohd Ariff Abdul Majid, Mohd Zaidy Abdul Kadir, Bastein Onn, Muhammad Faiz Hashim, Najmil Faiz Mohamed Aris, Mohamad Fazly Zainudin, Rais Yasin, Johari Yazid. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.