Filem Mentega Terbang: Wanita UMNO Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Wanita UMNO menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terlibat dalam pembikinan filem kontroversi yang tular baru-baru ini iaitu ‘Mentega Terbang’.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, impak penyebaran filem ini amat besar kerana ianya boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutamanya anak muda.

“Wanita UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem kontroversi ‘Mentega Terbang’ yang jelas bukan sahaja mempunyai unsur-unsur tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat di negara ini, tetapi telah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.

“Tayangan cerita seumpama ini seolah-olah cubaan untuk mempromosikan budaya ‘TAK APA’ dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam.

“Impak penyebaran filem ini amat besar kerana ia boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutama anak muda. Tayangan filem seperti ini tidak boleh di normalisasikan di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang pada masa yang akan datang.

“Justeru, Wanita UMNO menggesa Kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem kontroversi Mentega Terbang ini.

“Wanita UMNO juga menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang pada masa yang akan datang.

“Dalam kita hendak menggalakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu media melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu hentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang pada 27 Februari lalu.

SKMM menjelaskan, walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem Mentega Terbang.

Dalam masa sama, SKMM berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau sebarang kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.