Ahmad Zahid Nasihat Calon Patuhi Garis Panduan Berkempen Yang Ditetapkan JPU

ALOR SETAR, 6 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati kepada semua calon yang bertanding dalam Pemilihan kali ini mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) di bawah Tan Sri Shahrir Samad telah memberi garis panduan dan keadilan terbaik termasuk dibenarkan kempen melalui saluran media interaktif.

Pesannya lagi, baik calon mahupun pengurus kempen, ejen dan perwakilan jangan membuat sesuatu perkara yang boleh menyebabkan calon hilang kelayakan untuk bertanding atau jika menang sekalipun, pembatalan boleh dilakukan.

“Terdapat laporan-laporan yang sampai ke Jawatankuasa Pemilihan UMNO biarpun ada garis panduan diberikan, ada juga yang telah melakukan sesuatu di luar garis panduan itu.

“… jangan teruskannya kerana saya khuatir soal hilang kelayakan dan pembatalan jika menang. Sebab tidak ada jeda waktu pembatalan untuk kemenangan. Ini di luar kuasa presiden dan timbalan presiden selaku jawatankuasa pengurusan.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberikan mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan,” tambahnya ketika berucap di Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat Kedah dan Perlis di sini pada Ahad petang.

Manakala pada sebelah malam, di IPOH, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata berbekalkan semangat perpaduan dalam kalangan saf baharu di peringkat pusat, ia mampu menggarap hala tuju parti dengan lebih baik.

“Saya berkeyakinan penuh jika semangat perpaduan di kalangan kita diterjemahkan apabila Pemilihan kita ini tamat pada 18 Mac ini dan kita dapat membentuk saf kepimpinan baharu di peringkat nasional khususnya MKT, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai iltizam untuk terus bersama-sama UMNO dan kepimpinannya menggarap semula hala tuju yang baharu.

“…dan sederap dengan kepimpinan untuk terus merelevankan UMNO… Insya-Allah UMNO mempunyai masa depan yang lebih cerah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya ketika berucap di Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat Perak.

Kedua-dua majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi negeri terbabit.

Sebelum ini telah berlangsung sesi Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 bagi Wilayah Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang.

Untuk rekod, bulan lalu telah selesai diadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Cawangan serta pemilihan jawatankuasa bagi setiap peringkat.

Pada 11 Mac ini, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan jawatankuasa di peringkat bahagian dan pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara.

Begitu juga Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada Sabtu berikutnya iaitu 18 Mac. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.