Pemilihan UMNO 2023: Kerjasama Secara Erat, Matlamat Utama Menang Pilihan Raya – Fadwah

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar berkata medan Pemilihan UMNO bagi penggal 2023 hingga 2026 adalah usaha penambahbaikan bagi menguatkan sayap dan parti secara keseluruhannya.

Ini kerana katanya, walaupun terdapat perbezaan pendapat namun UMNO tetap meraikannya dan matlamat utamanya adalah memenangi pilihan raya.

“Kita tahu menjadi parti politik matlamat akhirnya adalah menang pilihan raya dan perlu ada satu parti yang kuat berkerjasama dengan secara erat. Perbezaan pendapat diraikan untuk mendapat ruang-ruang penambahbaikan.

“Pemilihan kali ini rancak bukan sahaja di dalam sayap Puteri UMNO tetapi Pemuda dan Wanita serta tidak ketinggalan juga dan menjadi pemerhatian adalah di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)UMNO.

“Semuanya mahukan yang terbaik untuk parti dan tidak ada satu pun yang bertanding mahu menjahanamkan dan memecah-belahkan parti, cuma bezanya mekanisme itu berbeza malah matlamat tetap sama. Parti kena kuat dan perlu disokong oleh ahli-ahli yang saling memahami serta melengkapi menguatkan parti,” katanya.

Beliau ditemui oleh UMNO Online selepas cabutan undi bagi Ketua Puteri UMNO serta jawatankuasa di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, WTCKL, di sini, Khamis.

Fadwah yang juga merupakan calon Ketua Puteri UMNO Malaysia bernombor lima menjelaskan pemilihan kali ini cukup berbeza dengan lalu kerana bakal-bakal calon kebanyakannya menggunakan media sosial.

“Ianya bagai ‘serampang dua mata’… boleh berkempen untuk diri sendiri dan juga memberi mesej serta info kepada rakyat terutamanya anak-anak muda dan inilah cara pemilihan UMNO yang akan kami bawa.

“Secara tidak langsung dapat memberi mesej dan imej pada yang bukan ‘non partisan’ kerana ramai ‘followers’ yang bukan orang politik. Apabila berkempen di media sosial secara tidak langsung mendapat input-input tentang Pemilihan UMNO,” jelasnya.

Semalam, berlangsung proses cabutan undi nombor calon bagi mereka yang bertanding di peringkat pusat.

Senarai penuh calon berserta nombor calon dipaparkan dalam laman sesawang www.umno-online.com.my. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.