Kuatkan Parti Semasa Dan Selepas Pemilihan, Elakkan Perkelahian – Mohd Shafie

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah mengajak para calon untuk menguatkan parti sepanjang dan selepas musim pemilihan serta mengelakkan perkelahian.

Jelasnya, para calon yang menawarkan diri untuk jawatan-jawatan tertentu mestilah mempunyai iltizam untuk memperkukuhkan parti selain daripada mementingkan kemenangan mahupun kekalahan.

“Dalam pemilihan ini sekiranya kita ‘look forward’, kita mesti memikirkan untuk kepentingan UMNO dan tiada sebab di antara kita berkelahi sesama sendiri. Kita pun menang 26 kerusi sahaja semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Masing-masingnya mesti mempunyai iltizam untuk menguatkan parti. Apabila kita membawa iltizam demikian, kalah dan menang itu tidak menjadi perkara utama. Bagi yang tidak berjaya perlu menerima hakikat.

“Tiada sebab untuk kita berpisah sebab menang dan kalah ini bukan pengakhiran kepada segala-galanya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang turut menawarkan diri sebagai Ahli MKT pada musim pemilihan kali ini itu turut berpesan kepada perwakilan supaya memilih calon yang betul terutamanya dalam usaha memperkuat parti.

“Alhamdulilah pada hari Khamis kita pergi kepada mencabut nombor calon dan saya telah dapat nombor 44. Jadi, saya harap akar umbi, semua bahagian-bahagian boleh memberi peluang kepada saya untuk menyumbang bakti di dalam Majlis MKT, Insya-Allah.

“Saya ingin berpesan agar perwakilan pilihlah dengan bijak. Pilihlah dengan hati yang terang dan minta izin dengan Allah S.W.T supaya hati-hati kita dibuka untuk memilih calon betul.

“Kepada calon, kita menawarkan diri dan sekiranya dijanjikan oleh Allah kita menang maka kita akan menang. Semua ini ketentuan Allah S.W.T,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.