Kepelbagaian Latar Belakang Calon Mampu Perkasakan Parti – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kepelbagaian latar belakang calon yang menawarkan diri untuk merebut tempat di peringkat pusat mampu memperkasakan UMNO, ujar Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Bercakap kepada UMNO Online, Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar berkata jumlah calon yang ramai juga menjadi bukti jelas bahawa demokrasi di dalam parti tetap subur.

“Saya cukup yakin ramai calon yang menawarkan diri dari pelbagai bidang itu dan secara tidak langsung dapat menyatukan dan memperkasakan kembali UMNO.

“…dan paling penting ‘chemistry’ dapat menyatukan kembali parti,” katanya yang turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Begitu juga, Mohamad percaya UMNO akan bertambah kuat di masa akan datang.

“Saya yakin dan percaya bersama-sama dan satu hati dan UMNO akan bertambah kuat pada masa akan datang dan ini menggambarkan demokrasi UMNO masih subur.

“Pemilihan UMNO bagi penggal 2023 hingga 2026 amat menarik dan masyarakat di luar menjangkakan tiada sambutan pada pemilihan ini tapi kehadiran ini semua calon yang bertanding itu dari pelbagai bidang, umur dan peringkat,” katanya lagi.

Justeru, beliau mengharapkan agar ahli dapat memperkukuhkan dan perkasakan parti selepas pemilihan ini.

Untuk rekod, mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian akan diadakan pada 11 Mac 2023 dan pada tarikh yang sama turut diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.