Demokrasi UMNO Subur, Ramai Tawar Diri Demi Kukuhkan Parti – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pemilihan UMNO 2023 adalah bukti amalan pendemokrasian dalam UMNO dirai dan semua individu layak menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada parti.

“Pencalonan yang ramai ini bukanlah tanda perpecahan dalam UMNO namun bukti kesiapsiagaan ahli parti dan masih ramai yang bersedia menggalas amanah walaupun berdepan fasa yang mencabar,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau yang ditemui dalam majlis memperkenalkan calon Pemilihan UMNO 2023 malam tadi bertanding bagi mempertahankan jawatan MKT menegaskan bahawa, cabaran utama UMNO adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik golongan muda untuk kembali bersama.


“Kita menerima hakikat ini dan mesti bersedia berdepan dengan realiti. Maka disebabkan itu, saya bersedia menggalas tanggungjawab ini demi parti yang kita sayangi ini.

“Ada yang bertanya kepada saya, tentang demokrasi dalam UMNO. Pendapat saya, amalan demokrasi dalam UMNO itu masih subur, buktinya kali ini adalah pertama kali dalam sejarah, tahun teramai pencalonan diterima untuk semua jawatan yang dipertandingkan. Ahli MKT sahaja ada 95 orang yang akan bertanding sedangkan kita cuma perlu 25 orang.

“Saingan mungkin kelihatan sengit, namun bagi saya inilah keindahan dan keistimewaan UMNO yang mana kita sentiasa meraikan hasrat semua pihak dan membuka seluasnya ruang untuk semua bertanding.”

Beliau mengakui gembira dengan penglibatan ramai kepimpinan dalam parti untuk menawarkan diri bagi membentuk UMNO kembali kukuh.

“Saya sangat seronok melihat penglibatan ramai ahli parti hari ini. Suasana pun meriah. Apabila kita umum bertanding bukanlah bermakna kita bermusuh. Boleh lihat kami semua cukup akrab walaupun bertanding sesama sendiri. Hanya satu sebab, iaitu kami sentiasa meletakkan kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.

“Inilah medan penyatuan kita sebagai sebuah keluarga besar UMNO Malaysia.”

Tambah Abdul Rahman yang juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan juga adalah suara demokrasi akar umbi yang telah pun menyatakan pandangan dan pendirian mereka supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

“Bagi saya ini juga satu amalan demokrasi,” katanya.

Dalam majlis sebelumnya iaitu Cabutan Nombor Calon yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini, Abdul Rahman yang memperoleh nombor 83.

“Saya berharap agar semua calon yang memenangi kerusi yang dipertandingkan agar dapat meneruskan agenda yang ditetapkan UMNO dalam usaha memulihkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba tidak lama lagi.”

Pemilihan UMNO diadakan mulai 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb lalu.

Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac, seterusnya bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan peringkat Bahagian bakal diadakan pada 18 Mac 2023. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.