Proses Lancar, Lebih 50 Calon Puteri UMNO Tawar Diri – Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Cabutan nombor calon-calon Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sempena Pemilihan UMNO bagi penggal 2023/2026 telah selesai dilaksanakan dengan lancar hari ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Datuk Mustapha Yaakub berkata, lebih 50 orang calon telah menawarkan diri bagi mengisi jawatan-jawatan yang dipertandingkan sepanjang musim pemilihan ini.

“Alhamdulilah cabutan nombor-nombor calon bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah selesai dilaksanakan. Seramai dua orang calon untuk jawatan Pengerusi Tetap telah menawarkan diri, dua orang untuk Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua Puteri, tiga untuk Naib Ketua Puteri dan 42 orang calon untuk Exco.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan kita berharap mereka akan menggunakan kemudahan yang ada terutamanya media sosial untuk meneruskan kempen berbaki lagi sembilan hari kerana mereka akan memilih pada 11 Mac,” katanya kepada UMNO Online.

Selain itu, Mustapha turut berharap agar semua calon berhati-hati ketika berkempen agar kelayakan mereka tidak dibatalkan oleh Lembaga Disiplin UMNO dan bertanding atas semangat keluarga UMNO.

“Cuma pesanan saya ialah berhati-hati dalam berkempen. Jangan sampai kelayakan mereka akan terbatal ataupun dibatalkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Bertandinglah atas semangat keluarga UMNO … bukan untuk menang, kemudian menidakkan orang lain. Kita nak jual ikan kita, juallah ikan kita. Jangan kata ikan orang lain buruk kepala.

I wish all of them the best. Selamat bertanding dan mudah-mudahan berjaya,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.