Perjalanan Cabutan Nombor Undi Puteri UMNO Lancar, 70 Peratus Calon Muka Baharu

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Sistem perjalanan untuk cabutan nombor undi bagi calon-calon Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi sesi 2023/2026 sebentar tadi berjalan dengan lancar.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, hampir 70 peratus muka baharu tampil mencalonkan diri bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan di peringkat pusat.

“Apa yang kita lihat sebentar tadi sistem perjalanan cabutan nombor undi untuk Pergerakan Puteri UMNO berjalan dengan lancar. Pada saya, perjalanan hari ini sangat sistematik.

“Tahniah kepada semua calon yang datang untuk dapatkan nombor undi masing-masing. Saya nampak akan muncul muka-muka baharu, insya-Allah untuk penggal tahun 2023/2026,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu turut berpendapat bahawa Pergerakan Puteri UMNO akan tampak lebih inklusif, dinamik dan relevan dengan barisan kepimpinan baharu kelak.

“Macam saya cakap tadi, kalau tengok daripada segi calon-calon hadir pada hari ini kita lihat boleh dikatakan hampir 70 peratus muka-muka baharu wanita muda yang berani menawarkan diri.

“Insya-Allah akan datang, Pergerakan Puteri UMNO akan nampak lebih inklusif, dinamik, relevan dengan barisan calon-calon baharu yang bakal dipilih nanti.

“Pesanan kepada semua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh Malaysia jangan lupa saya Rina Farhana Binti Abdullah yang lebih mesra dipanggil Effa, calon Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia nombor tiga,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.