Pemilihan UMNO: Lapan Calon Sah Rebut Jawatan Naib Presiden

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu.

Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Nama calon yang bertanding bagi jawatan itu diumumkan dalam majlis di sebuah hotel di sini malam ini, yang turut dihadiri oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagi calon Ahli MKT, seramai 95 orang layak bertanding termasuk Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jawatan Ketua Pergerakan Wanita pula menyaksikan persaingan satu lawan satu antara penyandangnya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan veteran UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi jawatan Naib Ketua, Datuk Rosni Zahari yang merupakan Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN) akan dicabar oleh Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang Datuk Norliza Abdul Rahim.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO pula menyaksikan perebutan antara empat calon iaitu Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh, Ahli MKT UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan calon Meor Hassan Mat Ali.

Perebutan jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO juga menyaksikan empat calon bertanding termasuk anak bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah.

Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula melibatkan enam calon termasuk Naib Ketua Puteri Nurul Amal Mohd Fauzi, Ahli MKT Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Setiausaha Puteri UMNO Nurul Hazwani Mohd Fauzi manakala Naib Ketua Puteri menyaksikan tiga calon.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berharap pemilihan kali ini berjalan lancar mengikut garis panduan ditetapkan selaras dengan hasrat untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang kuat.

Beliau berkata pemilihan kali ini penting kerana mereka yang bertanding adalah calon UMNO Malaysia dan tidak mewakili mana-mana kumpulan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.