Pemilihan 2023: Pilih Pemimpin Komited, Banyak Berbakti… Tekad Bawa Perjuangan UMNO – SUA
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap perwakilan yang bakal mengundi pada Pemilihan parti bagi sesi 2023/2026 ini dapat memilih pemimpin yang komited dalam meneruskan perjuangan UMNO.
Katanya ini penting bagi memastikan UMNO terus didukung oleh pemimpin yang ikhlas dalam membawa aspirasi parti keramat ini.
“Perwakilan pun sudah tahu siapa yang akan diundi, mereka hendaklah melihat bukti-bukti bahawa dalam masa lima tahun orang yang mereka pilih itu boleh membawa perjuangan UMNO.
“Supaya dengan karakternya, latar belakang, pencapaian, khidmatnya dia boleh membantu UMNO dalam tempoh lima tahun iaitu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kalau lihat orang itu tidak yakin membawa UMNO lima tahun lagi, maka dia kena berfikir untuk beri kepada orang lain sama ada untuk pelbagai jawatan ini, pilih pemimpin boleh memikul amanah tersebut,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas berlangsungnya cabutan nombor undi bagi Pemilihan di Auditorium Menara Dato Onn.
Menurut beliau lagi, perkhidmatan yang diberikan pemimpin dalam bermasyarakat juga memainkan peranan penting bagi membuktikan karakter serta tanggungjawab mereka.
“Saya harap mereka melihat media sosial pemimpin itu, katakanlah seorang yang bernama Ali ingin menawarkan diri sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO.
“Lepas itu, lihatlah dia punya media sosial setakat mana aktif dalam kehidupan bermasyarakat, UMNO, Barisan Nasional, kerajaan, pilihan raya boleh dilihat daripada itu orang-orang yang mereka ingin tahu karakternya,” ujar beliau.
Ahmad yang dalam pada itu meluahkan penghargaan kerana cabutan nombor undi yang berlangsung petang tadi berjalan lancar.
“Nombor ini penting untuk calon tetapi angka tersebut tidak menentukan bahawa bawah itu kalah atau atas itu menang.
“Apa yang dilihat kepada perwakilan siapa orang yang bernombor itu adakah mereka kenal, yakin, mengenali perjuangan yang dibawa itu yang menyebabkan seseorang itu boleh menang atau tidak.
“Nombor itu identiti ketika di atas kertas… diletakkan sebagai kertas undi dan kita lihat apa yang dibuat secara telus tidak ada sebarang kesulitan semuanya teratur dan saya harap mereka berpuas hati walaupun apa juga nombor yang mereka terima,” ujar beliau. – UMNO Online