JPU Ingatkan Calon Jaga Nama Baik Parti, Patuh Tataetika Sepanjang Pemilihan UMNO 2023

 

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang menawarkan diri bagi sesuatu jawatan untuk menjaga nama baik parti dan mematuhi tataetika sepanjang musim pemilihan ini.

Ini kerana katanya, para calon perlu ingat bahawa sebenarnya mereka menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti, rakyat dan juga negara.

“Bagi yang bertanding, harus diingatkan bahawa sebenarnya mereka menawarkan diri untuk berkhidmat bagi parti, rakyat dan negara. Saya tahu bahawa ini tanggungjawab yang sungguh besar.

“Dalam kita hendak mendapatkan jawatan dalam parti dengan memikul tanggungjawab yang besar ini, maka kempen dan pengenalan kita kepada mereka yang mengundi pada 11 dan 18 Mac harap dapat dilakukan dengan perasaan serta fahaman penuh bertanggungjawab.

“Nama baik parti harus kita jaga. Tataetika yang telah kita tetapkan bukannya baru bermula dan ianya sudah 15 tahun. Sebab itu, kita kena jaga nama baik parti dalam proses menawarkan diri sebagai pemimpin di peringkat kebangsaan sama ada di peringkat sayap ataupun peringkat Majlis Tertinggi (MT),” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang ditemui selepas acara cabutan nombor undi calon-calon di peringkat pusat itu turut mengingatkan para calon supaya meneruskan kempen menggunakan medium yang disarankan oleh JPU.

“Acara cabutan nombor calon-calon telah bermula daripada tengahari tadi dengan Pergerakan Puteri UMNO dan seterusnya berakhir pada petang ini untuk keseluruhannya. Alhamdulilah, proses ini berjalan dengan lancar dan nampaknya suasana dalam cabutan nombor bagi calon-calon begitu mesra dan teratur.

“Saya mewakili JPU 2023 ini berharap bahawa semua calon yang telah mempunyai nombor masing-masing teruskan kempen, memperkenalkan diri mereka dengan tertib dan menggunakan kaedah dibenarkan melalui media sosial terutamanya supaya dalam pemilihan ini kita akan dapat memilih satu barisan kepimpinan mahupun daripada Puteri, Pemuda, Wanita dan juga peringkat Majlis Tertinggi.

“…yang boleh membawa parti ke arah yang lebih mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Banyak kerja perlu dilakukan jadi kita perlukan kepimpinan yang boleh bekerjasama, memberi pandangan, mencetuskan pemikiran dan menggerakkan parti untuk menjadi lebih mantap berhadapan dengan rakyat sebagai sebuah parti besar serta bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan negara kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrir turut berharap agar pemilihan ini berjalan dengan baik bagi membolehkan para perwakilan memilih calon yang terbaik untuk memimpin parti keramat ini.

“Saya berharap bahawa proses berkempen mengenalkan diri untuk mendapatkan sokongan menjelang 11 dan 18 Mac ini akan mempamerkan sifat dan keadaan kita sebagai sebuah parti besar, mempunyai tanggungjawab berat agar sokongan rakyat itu dapat kita pulihkan serta bentukkan pada masa akan datang.

“Itu harapan kami JPU 2023 bahawa pemilihan ini berjalan dengan baik, proses penawaran calon juga berjalan dengan baik. Apabila kesemuanya dilakukan dengan keadaan yang baik Insya-Allah kita akan dapat memilih satu barisan yang kuat dan mudah diterima bukan sahaja oleh parti bahkan kepada rakyat dan negara amnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.