Tuduh UMNO Dalang Pendakwaan: Azmin Usah Salahkan Pihak Lain – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menyalahkan pihak lain atas dakwaan yang mereka hadapi berkaitan kes projek Jana Wibawa.

Ini kerana katanya, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menuduh UMNO adalah dalang di sebalik pendakwaan tersebut berdasarkan kenyataannya dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semalam Azmin kata kononnya UMNO yang menjadi dalang di belakang penahanan pemimpin-pemimpin PPBM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini kerana katanya Datuk Seri Zahid (dan saya) telah buat kenyataan bahawa pemimpin PPBM akan jadi kluster mahkamah lebih awal. Kata Azmin lagi, ia kerana sebelum ini saya telah suruh Timbalan Presiden PPBM, Faizal Azumu fokus kepada kes-kes rasuah mereka yang bakal dihadapi.

“Azmin juga persoal kenapa hanya pemimpin PPBM sahaja yang ditahan dan mengapa pemimpin UMNO tidak ditahan walhal projek Jana Wibawa itu diteruskan ketika pemimpin UMNO jadi Perdana Menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, rakyat sudah lama nampak dan menghidu kegiatan mereka menyalahgunakan kuasa sejak PN memerintah terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

“Apabila kamu atau rakan-rakan kamu kena tangkap atas kes rasuah, usah salahkan orang lain yang boleh mengagak lebih awal bahawa kamu bakal didakwa. Sebab rakyat sudah lama nampak dan boleh hidu salahguna kuasa pemimpin-pemimpin parti kamu ini sejak kamu berkuasa terutama semasa PKP dan darurat lagi apabila kamu beri kontrak berbillion ringgit secara rundingan terus. Begitu juga semasa kamu berbelanja besar ketika pilihan raya.

“Anak kecil pun boleh melihat ada sesuatu yang tidak kena dan boleh mengagak jika siasatan dilakukan akan ada yang jadi kluster mahkamah. Kenyataan kamu semalam tersebut seolah kebudak-budakan. Carilah hujah yang lebih baik, Azmin. Kamu kata kamu sudah lama dalam politik. Takkan ini yang terbaik kamu boleh berhujah untuk bela Muhyiddin?” katanya lagi.

Jelasnya, tindakan PN menyalahkan pihak lain akibat pendakwaan dihadapi menunjukkan kedangkalan mereka yang sama sekali turut menyalahkan pihak berkuasa seperti polis dan SPRM.

“Laporan polis itu dibuat oleh sayap parti kamu sendiri. Asas laporan mereka pun samalah seperti hujah kamu di atas, iaitu menyalahkan orang lain ke atas kes rasuah sendiri. Jika kamu mencuri dan ada orang boleh mengagak dan kata kamu akan didakwa dan akan masuk penjara kerana mencuri, ia tidak bermakna orang itulah menjadi dalang apabila kamu kena tangkap polis. Ia hanya menunjukkan yang orang itu ada ‘common sense’.

“Jika kamu salahkan orang itu, samalah seperti kamu salahkan polis atau SPRM kerana tangkap kamu dan menjadi ‘dalang’ pendakwaan kamu oleh pendakwaraya di mahkamah. Ini dangkal.

“Pemimpin PPBM dan bukan pemimpin UMNO yang didakwa sebab duit ‘kickback’. Rasuah dari projek Jana Wibawa itu masuk ke dalam akaun PPBM dan pemimpin PPBM bukan ke dalam akaun UMNO atau akaun pemimpin UMNO. Takkanlah jika kamu atau rakan kamu yang makan rasuah, UMNO juga yang salah?” soalnya lagi.

Semalam, media melaporkan Azmin mendakwa kepimpinan tertinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ia kerana hanya pemimpin PPBM yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan berhubung program Jana Wibawa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.