Penghargaan Kepada Pucuk Pimpinan UMNO, Iktiraf Wanita Dukung Aspirasi Parti – Noraini

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merakamkan penghargaan kepada pucuk kepimpinan yang mengiktiraf Wanita dalam membawa peranan tersendiri bagi mendukung aspirasi parti.

Katanya, ini termasuk dalam memberi peluang kepada Wanita sebagai tulang belakang parti menerajui kepimpinan politik negara.

“Terima kasih diucapkan kepada pucuk pimpinan di atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada Wanita UMNO dan Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menerajui kepimpinan politik negara,” katanya menerusi satu perkongsian video di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong malah menambah, ianya terbukti apabila pertambahan kepimpinan dalam kalangan Wanita yang dijadikan calon pada pilihan raya.

“Peningkatan jumlah calon Wanita dalam pilihan raya antara sumbangan saya kepada Wanita UMNO.

“Itu kita kena tengok juga hasil daripada yang kita suarakan penambahan calon-calon juga bertambah di zaman saya.

“Pada zaman saya juga kita buat negotiation dan engagement bersama dengan kepimpinan parti macam mana kita nak dapat kejayaan itu yang lebih penting,” ujar beliau.

Untuk rekod, Noraini pada Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 ini akan mempertahankan jawatannya dan bakal berdepan dengan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga mantan Ketua Wanita UMNO Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.