Pemilihan UMNO 2023: Proses Cabut Nombor Undi Calon Esok, 2 Mac

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kehangatan musim Pemilihan UMNO 2023 akan diteruskan dengan proses cabutan undi nombor calon bagi ahli yang menawarkan diri bertanding jawatan di peringkat pusat pada 2 Mac, Khamis.

Proses cabutan undi nombor calon-calon tersebut akan diadakan di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato’ Onn di sini.

Cabutan undi akan dilakukan oleh calon ataupun wakil calon. Namun, jika kedua-duanya tidak dapat menghadirkan diri maka Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) akan melaksanakan cabutan nombor bagi calon-calon berkenaan.

Bagi calon-calon Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan dimulakan pada jam 12.00 tengahari mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Seterusnya, akan diadakan proses cabutan undi nombor untuk calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada jam 2.00 petang mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Dijadualkan sejam kemudian, iaitu pukul 4.00 petang giliran calon-calon Wanita UMNO untuk membuat cabutan undi nombor mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa.

Manakala untuk calon-calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermula pada jam 5.00 petang mengikut susunan jawatan-jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli MKT.

Kesemua keputusan cabutan akan dipaparkan pada skrin LED di dalam auditorium dan senarai penuh keputusan cabutan serta nombor undian bagi setiap calon akan dipaparkan dalam laman sesawang www.umno-online.com.my bermula 3 Mac (Jumaat).

Untuk kelancaran proses tersebut, para calon dan wakil calon diminta untuk hadir mengikut ketetapan waktu yang digariskan.

Para calon turut diingatkan agar sentiasa mematuhi tataetika yang telah ditetapkan JPU sepanjang proses Pemilihan UMNO 2023 berlangsung. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.