Pemilihan UMNO 2023: Cabutan Nombor Berlangsung Esok, Sila Hadir Awal – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon atau wakil calon yang bakal bertanding di peringkat pusat menghadirkan diri sepuluh minit awal bagi memudahkan proses cabutan nombor undi.

Jelasnya, cabutan nombor untuk calon-calon akan dilakukan pada esok, 2 Mac 2023 bermula dengan Pergerakan Puteri UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO, Wanita UMNO dan Majlis Tertinggi (MT).

“Cabutan untuk nombor bagi calon-calon akan dilakukan pada esok hari. Bermula dengan Pergerakan Puteri UMNO, calon-calon bagi jawatan-jawatan dalam Pergerakan Puteri pada 12.00 tengahari.

“Calon-calon akan mendaftar di luar dan duduk di dalam auditorium. Cabutan nombor akan dimulakan bagi jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pergerakan Puteri, Naib Ketua dan juga Exco bagi Pergerakan Puteri UMNO.

“Setelah selesai untuk Puteri UMNO, dijangkakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO pula akan bermula pada pukul 2.00 petang dan diikuti oleh Wanita UMNO pada jam 4.00 petang manakala bagi jawatan-jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada pukul 5.00 petang,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui sejurus selepas raptai proses cabutan nombor calon-calon.

Menurutnya, calon-calon yang bertanding boleh menghadirkan diri mereka ataupun menghantar wakil untuk mendapatkan nombor undi. Namun sekiranya kedua-duanya tidak dapat hadir maka urus setia akan membuat cabutan tersebut untuk pihak mereka.

“Jadi saya harap semua pihak yang terlibat akan hadir dalam sepuluh minit sebelum bermulanya cabutan nombor bagi calon-calon berkenaan.

“Calon boleh hadir sendiri ataupun ditugaskan kepada wakil calon. Maknanya, satu orang sahaja yang akan masuk ke dalam auditorium ketika kita mengadakan cabutan ini.

“Bagi mereka yang tidak dapat menghadirkan diri, apabila nama dipanggil urus setia akan membuat cabutan bagi pihaknya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrir turut memaklumkan bahawa tiada sebarang penarikan diri daripada calon yang layak untuk bertanding pada pemilihan kali ini.

“Buat masa ini, kita tidak ada terima apa-apa penarikan diri daripada pemilihan ini. Jadi, kita anggapkan semua yang layak bertanding akan datang pada esok hari untuk mendapatkan nombor-nombor calon mereka.

“Nombor-nombor calon ini akan dipamerkan pada skrin televisyen dan dimasukkan ke dalam sistem serta akan disediakan untuk edaran bagi pengetahuan semua pihak perwakilan yang bakal mengundi mereka sama ada pada 11 Mac ataupun 18 Mac mengikut peringkat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.