UMNO Tidak Mudah Dipinggir, Terus Bantu Rakyat Dan Negara – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Feb – UMNO bukanlah sebuah parti yang mudah untuk dipinggirkan begitu sahaja dan masih mampu untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta menyatukan rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pada masa ini UMNO dilihat sedang mencari jalan keluar bagi menghadapi kemelut politik yang semakin mencabar dan dinamik.

“Alhamdulilah, saya dimaklumkan bahawa parti kita ini masih lagi dapat banyak sokongan dan ramai yang nak bertanding di semua peringkat. Ini menunjukkan UMNO bukanlah sebuah parti yang boleh dipinggirkan begitu sahaja.

“Sebagai sebuah institusi besar dalam negara yang mewakili kepentingan orang Melayu/Bumiputera, saya kira UMNO masih lagi mampu dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara serta menyatukan rakyat. Buat masa ini, UMNO sedang mencari jalan keluar daripada kemelut politik negara ketika ini. Dengan pengalaman selama 77 tahun, saya rasakan UMNO masih lagi relevan.

“Selepas sahaja pelantikan barisan kepimpinan baharu, saya percaya kepimpinan tertinggi parti akan mengorak langkah untuk memastikan kita menjadi sebuah parti yang relevan menjelang PRU (Pilihan Raya Umum) ke-16 nanti,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, pelbagai cabaran yang telah dilalui parti, memberikan ruang dan peluang kepada ahli serta akar umbi untuk melakukan proses reformasi parti.

“Saya kira ini adalah fasa yang menarik untuk UMNO. Dalam 77 tahun ini adalah cabaran yang lebih besar.

“Tetapi pada masa yang sama juga timbul banyak peluang untuk mereformasikan parti, mencari satu kedudukan lebih relevan dalam konteks masa kini dan ianya perlu digarap. Reformasi ini bermula daripada dalaman dan kita zahirkan untuk dilihat oleh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.