UMNO Perlu Rejuvenasi Ke Satu Tahap Lebih Baik – Johari Yazid

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Johari Yazid yakin pemilihan UMNO penggal 2023 hingga 2026 ini UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin muda bagi menjawat pelbagai jawatan.

Katanya, ia berupaya membawa inspirasi, kekuatan serta rejuvenasi UMNO ke tahap yang lebih tinggi serta dihormati oleh semua lapisan rakyat.

“Ramai pemimpin-pemimpin muda yang di bawah 45 tahun telah menawarkan diri khususnya bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana merasakan adanya perlu ‘rejuvenasi’ parti untuk membawa ke satu tahap yang lebih baik.

“Kita tidak boleh lari dari fakta bahawa anak-anak muda ingin melihat UMNO menjadi sebuah parti yang relevan tetapi mahu melihat satu kepimpinan yang baharu, lebih segar dan bugar bagi membantu kepimpinan-kepimpinan yang lebih berpengalaman.

“Gabungan-gabungan pemimpin muda inilah yang bakal mewujudkan kembali UMNO ke tahap yang lebih hebat, gemilang dan terbilang, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Auditorium aras 4, Menara Dato’ Onn, WTCKL, di sini.

Johari yang turut menawarkan diri menjawat sebagai Ahli MKT UMNO juga yakin pada pemilihan ini dapat membawa satu suara baharu, wajah dan kepimpinan yang segar serta dapat menarik anak muda kembali pada parti ini.

“Saya yakin pada pemilihan UMNO kali ini dapat membawa satu suara baharu, wajah baharu dan kepimpinan yang lebih segar dan bugar serta dapat menarik minat generasi-generasi muda untuk kembali menyokong UMNO.

“Perlu adanya kelestarian daripada Pemuda UMNO dan ada sedikit kemampuan, sumbangan idea untuk berkhidmat bagi parti ini walaupun sedar bahawa parti ini semakin lemah akibat tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen,” ujarnya.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.