Pemilihan UMNO Simbolik Silaturahim Terjalin Dalam Kalangan Ahli Parti – JPU

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad memaklumkan bahawa Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 ini merupakan simbolik kepada silaturahim yang terjalin dalam kalangan ahli parti.

Katanya, pertandingan ini memberikan signifikan tersendiri apabila ramai dalam kalangan pemimpin muda yang menawarkan diri bagi memberikan perkhidmatan mereka kepada parti.

“Pemilihan ini boleh mengeratkan silaturahim, kemesraan dalam kalangan ahli UMNO ianya tidak perlu kepada perasaan tekanan hendak bersaing sehinggakan beremosi kononnya dapat daripada semangat pertandingan.

“…ianya juga membuka peluang bagi ramai dan yang menyambut paling ramai di peringkat Exco Pemuda, maknanya bagi saya yang melihat keadaan ini ramai muka baharu lebih ramai dari yang biasa-biasa.

“Ini menunjukkan sudah berani untuk menawarkan diri dan mencuba, mempamerkan diri dan bertanding secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Sempena Pemilihan UMNO yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, petang tadi.

Shahrir dalam pada itu memaklumkan bahawa pihaknya tidak begitu ketat dalam menilai kelayakan calon yang bertanding selagi mana ianya berlandaskan kepada Perlembagaan UMNO.

“Prinsip yang kami pegang ialah undi atau keputusan yang dibuat oleh perwakilan iaitu ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian adalah lebih penting.

“Soal kelayakan itu tidak begitu ketat kerana ianya lebih kepada menggalakkan proses penawaran diri calon ini untuk berkhidmat kepada UMNO supaya dapat menyegarkan demokrasi dalam semangat setiakawan keluarga berasaskan kepada suara yang ramai,” ujar beliau.

Dalam pada itu Shahrir turut meluahkan kesyukuran kerana Pemilihan yang bermula dengan proses pendaftaran sejak awal Februari dan sehingga kini dalam keadaan harmoni di seluruh negara.

“Seperti dikatakan apa yang saya lihat daripada 1 Februari sehingga sekarang, sudah sebulan perjalanannya boleh dikatakan agak tenteram, tenang dan terkawal.

“Biasalah akan ada aduan itu dan ini, pertanyaan, kelayakan itu perkara biasa. Banyaknya itu dapat diselesaikan melalui Ibu Pejabat UMNO dan juga nasihat daripada JPU di mana kita juga dibantu oleh badan undang-undang UMNO untuk memastikan ianya patuh kepada Perlembagaan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.