Tuduh Zahid Dalang Pertuduhan Pemimpin PN, Pihak Guaman Hantar Surat Tuntutan

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pihak guaman telah mengeluarkan satu surat tuntutan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas tuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang kes pendakwaan mereka.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tuduhan tersebut merupakan satu fitnah yang melulu dan disengajakan untuk menutup kesalahan mereka.

“Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN adalah ‘dalang’ kepada pertuduhan Wan Saiful dan Perikatan Nasional adalah sangat melampau.

“Tuduhan ini adalah satu fitnah yang melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri. Ianya turut disokong oleh Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan PPBM adalah tindakan yang telah dirancang,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelasnya, tindakan menuding jari kepada musuh politik bagi menutup kesalahan sendiri adalah langkah biasa yang dilakukan.

“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan bahawa kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam parti mereka.

“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka lakukan untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong itu turut berkata, kedua-dua penama tersebut perlulah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan di atas fitnah melampau tersebut.

“Hari ini, satu surat tuntutan (Letter of Demand) telah dihantar oleh pihak guaman kepada penama Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mohammed Azmin Ali sebagai tindakbalas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan.

“Fintah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan serta jenayah yang telah dilakukan. Kedua-dua penama tersebut mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan.

“Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin daripada PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri adalah menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kes kluster mahkamah melibatkan pemimpin parti itu didalangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, tindakan itu dipercayai antara usaha yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk melumpuhkan partinya setelah melihat sokongan kepada PPBM dan PN semakin kuat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu. – UMNO Online
KENYATAAN MEDIA (EDITED) 1

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.