Majlis Ulama UMNO Bawa Peranan Menasihati Parti, Realisasi Asas Dan Tujuan UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Majlis Ulama UMNO yang ditubuhkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung UMNO 2022 membawa peranan tersendiri terutama dalam menasihati parti bagi merealisasikan asas dan tujuan UMNO.

Setiausaha Eksekutif, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia meliputi sebagaimana Fasal 3 dan ceraian 3.1 Perlembagaan UMNO iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan kedua, mendidik dan mentarbiah ahli parti supaya selaras dengan asas dan tujuan parti seterusnya beristiqamah dengan Islam agar menjadi Muslim bertaqwa serta warganegara yang baik.

“Ketiga, majlis ini juga akan memainkan peranannya menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

“Keempat, menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara serta membimbing umat untuk sentiasa istiqamah dengan Islam dan menjadi warganegara yang baik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Anggota Tertinggi yang dipengerusikan oleh Datuk Dusuki Ahmad, petang tadi di Menara Dato’ Onn di sini.

Menurutnya lagi, Mesyuarat Anggota Tertinggi telah meluluskan 30 Mercu Tanda Majlis Ulama UMNO (Fasa Permulaan 2023-2024) untuk dilaksanakan perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat.

Jelas beliau tiga daripada 30 Mercu Tanda tersebut ialah pertamanya, Program Halaqah yang akan menjadi program tetap pentarbiahan ahli parti untuk dilaksanakan di Bahagian dan Cawangan.

“Kedua, Sidang Muzakarah Meja Bulat Majlis Ulama UMNO yang akan dikendalikan oleh panel-panel Majlis Ulama. Ia adalah medan untuk mengenal pasti isu-isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusnya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah.

“Ketiga, menyemarakkan peranan Pusat Islam Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala.

“Perincian mercu tanda yang lain akan dimaklumkan kepada ahli parti dan umum dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Dr Mohd Khairuddin juga memaklumkan struktur rasmi Majlis Ulama terbahagi kepada tiga iaitu Anggota Tertinggi, Panel Muzakarah dan Anggota.

Bagi Anggota Tertinggi ianya terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Eksekutif serta tidak lebih daripada 10 anggota dan Pengerusi-Pengerusi Biro Agama UMNO Negeri dan Wilayah.

Panel Muzakarah pula terdiri daripada ulama dan ilmuwan Islam daripada dalam dan luar parti yang dilantik oleh Majlis Ulama.

“Anggota Majlis Ulama pula terbuka keanggotaannya kepada lepasan pengajian Islam dari institut pengajian tinggi atau institut pengajian tradisional Islam atau tokoh yang diperakui keilmuannya dalam pengajian Islam,” katanya.

Dalam pada Majlis Ulama UMNO juga berharap untuk terus memainkan peranannya dalam parti dan untuk kepentingan ummah selain sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.