Kes Hakim Nazlan: JAC Perlu Tanggungjawab Pastikan Kod Etika 2009 Dipatuhi Hakim – Zaid

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pengamal Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berpendapat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu bertanggungjawab dalam peranannya untuk memastikan peraturan di bawah Kod Etika Hakim sentiasa diaplikasi oleh hakim-hakim.

Beliau berkata demikian berkenaan Laporan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009, telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Jika tidak, apa yang perlu dilakukan sekiranya kod etika dalaman tidak dilaksana mekanismenya untuk dipantau dan dikuatkuasakan?

“Jadi dalam soal keadilan Mohd Nazlan, SPRM terpaksa masuk campur kerana banyak yang menentang.

“Soalan saya adakah SPRM menyiasat kemungkinan pelanggaran kod etika ini kerana kegagalan untuk menguatkuasakan, memantau atau mengambil tindakan?” soalnya menerusi satu hantaran video di Tiktok.

Jelas beliau, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya membabitkan hakim yang mempunyai konflik berkepentingan namun bertindak sebagai hakim yang mendengar kes Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini sangat penting kerana ia berkaitan dengan isu Najib kerana beliau berkata tidak mendapat pengadilan yang sewajarnya.

“Salah satu sebabnya apabila hakim berhadapan dengan konflik berkepentingan, tidak adil, berat sebelah, tetapi tiada siapa yang mengambil perhatian tentang perkara ini,” ujar beliau.

Pada 23 April tahun lepas, akhbar tempatan melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan, berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya berikutan laporan rasmi yang dibuat berhubung perkara tersebut.

Mohd Nazlan yang mendengar kes Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, juga telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.