Pemuda UMNO Mampu Bawa Semangat Yang Baharu – Sollehin

 

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohd Tajie menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi laluan pada pemilihan UMNO 2023/26 kali ini.

Jelasnya, ini adalah proses demokrasi bagi menyuburkan kembali semangat kepimpinan untuk membawa semangat baharu dalam parti UMNO.

“Saya yakin apa yang dilaksanakan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang secara berbesar hati memberi ruang kepada demokrasi ini berjalan di peringkat Pemuda UMNO di seluruh negara.

“Kita akan lihat banyak wajah-wajah baharu yang bertanding pada pemilihan dan ini adalah peluang bagi UMNO dilihat lebih relevan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Apa jua keputusan yang dibuat pada kali ini adalah menentu hala tuju parti pada lima tahun akan datang.

“Banyak perkara yang akan berlaku di bawah kepimpinan yang baharu dan akan membawa satu mesej bahawa UMNO akan terus kekal relevan dalam tempoh berpuluh tahun akan datang, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang turut menawarkan diri sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO yakin bahawa perwakilan akan memilih yang terbaik di kalangan terbaik.

“Paling penting adalah semangat dan perjuangan ini apakah misi dan visi yang hendak dibawa dan paling penting disiplin dalam parti. Ini penting diterapkan pada jawatankuasa yang dipilih pada penggal ini.

“Disiplin dalam parti menentu hala tuju UMNO. Jika dipilih tetapi tidak mampu mengekalkan disiplin yang baik dalam parti ia akan melemahkan UMNO dari dalam. Kita hadapi pilihan raya lepas disebabkan disiplin parti di setiap kepimpinan,” katanya.

Tegasnya, paling penting mereka mampu memberi sumbangan, idea, pengalaman serta kepakaran pada sumber yang betul.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir hari ini.

Mesyuarat Perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri bahagian pula pada 11 Mac nanti dan pada tarikh yang sama turut diadakan pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.