Pemilihan UMNO: Kemunculan Muka Baharu, Penyambung Generasi Perjuangan UMNO – Azalina

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Kemunculan muka-muka baharu sepanjang musim Pemilihan UMNO kali ini merupakan satu petanda yang baik supaya perjuangan UMNO dapat diteruskan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ianya merupakan sebuah pendekatan kepada perubahan kepimpinan yang dibentuk untuk kelangsungan parti.

“Itu satu petanda yang baik. Memang UMNO sentiasa mempunyai tempat untuk muka-muka baharu sebagai pendekatan kepada perubahan kepimpinan yang dibentuk untuk meneruskan perjuangan parti.

“Contohnya, Pergerakan Puteri UMNO itu turut ditubuhkan atas premis yang sama iaitu membawa muka-muka baharu wanita muda dan hari ini terbukti banyak parti politik lain pun mengikut langkah tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Undang dan Reformasi Institusi itu turut percaya bahawa pemilihan kali ini merupakan kesinambungan kepada perjuangan parti keramat orang Melayu.

“Saya percaya bahawa pemilihan kali ini adalah untuk mencari pemimpin yang membawa kesinambungan kepada perjuangan UMNO, dalam era baharu hari ini apabila kita tidak sepenuhnya memerintah negara sebagai satu kerajaan tetapi berada dalam kerajaan gabungan.

“Bagi saya, kepimpinan parti akan dipilih oleh ahli akar umbi supaya dalam apa situasi sekalipun perjuangan sebagai parti orang Melayu mesti diteruskan,” katanya lagi.

Azalina turut mengumumkan bahawa beliau menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO pada musim pemilihan kali ini dengan harapan agar parti bersifat lebih terbuka demi meneruskan perjuangan.

“Saya dah jadi ahli UMNO selama 34 tahun dan saya menawarkan diri antara beberapa yang nak bertanding jawatan Naib Presiden.

“Mungkin hanya saya seorang sahaja wanita yang menawarkan diri daripada hero-hero UMNO lain. Bagi saya, itu tentang perubahan yang ada dalam UMNO ini. Lebih bersifat terbuka, memahami perjuangan bahawa UMNO ini membawa lebih kepada kekuatan parti untuk terus memerintah negara.

“Saya tengok parti-parti politik lain, banyak juga jawatan Naib Presiden mereka terdiri daripada kaum wanita dan bagi saya ini satu ujian besar bagi UMNO sama ada bersedia untuk menerima kepimpinan daripada pelbagai aspek.

“Inilah masa yang sesuai untuk saya menawarkan diri demi kesinambungan kepada pemimpin parti supaya kita dilihat sebagai sebuah parti yang relevan bukan sahaja untuk orang Melayu dalam negara bahkan bagi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar para perwakilan memilih barisan kepimpinan berdasarkan kemampuan mereka untuk memimpin parti.

“Saya harap dapat meneruskan perjuangan UMNO dengan menawarkan diri supaya dapat menjadikan UMNO lebih relevan dan konsisten kepada rakyat Malaysia untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Pada saya, kita kena pilihlah calon berwibawa atas pendekatan seperti yang disebutkan. Itu adalah cara yang lebih musyawarah dan amanah.

“Saya harap pada pemilihan kali ini lebih terbuka kepada mereka yang menawarkan diri. Bukan melihat kepada kemampuan membeli tetapi lebih kepada kemampuan memimpin,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.