Onn Hafiz Zahir Penghargaan Pada PM

KUALA LUMPUR 25 Feb – Kerajaan Johor menzahirkan penghargaan buat kerajaan Pusat yang menyalurkan peruntukan besar bagi melaksanakan projek, termasuk naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta infrastruktur lain negeri ini dalam Belanjawan 2023 dibentangkan semalam.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pentadbiran negeri menzahirkan komitmen di peringkat tertinggi bagi memudahcara semua projek dan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 itu.

“Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan usaha berterusan semua pihak, apa yang dihajati kerajaan Johor untuk kemakmuran kita bersama dimakbulkan Allah SWT melalui pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

“Bagi pihak kerajaan Johor, saya menzahirkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan kerana bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway (SDE),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Onn Hafiz berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju supaya enam projek tebatan banjir melalui proses tender semula dengan segera, selewat-lewatnya Jun tahun ini.

Katanya, ia termasuk Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi bagi menangani banjir di daerah berkenaan.

“Tidak ketinggalan, cadangan memperkukuhkan lagi pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi turut diumumkan Perdana Menteri, semalam.

” Alhamdulillah… Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan kerja-kerja awalan bagi menaik taraf 26 hospital di seluruh negara, termasuk pembesaran Hospital Pontian, Johor yang berusia hampir seabad, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat mendapatkan kemudahan rawatan terbaik.

“Tidak dilupakan, pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST), turut sama diumumkan semalam,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.