Kluster Mahkamah PN: Biar Mahkamah Tentukan Segala Kebenaran – Mohd Sharkar

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berpandangan bahawa perlu diserahkan kepada mahkamah berkenaan kes rasuah melibatkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, sudah semestinya segala siasatan akan dijalankan dengan telus memandangkan negara mempunyai badan-badan tertentu dan mengamalkan kedaulatan undang-undang.

“Biar mahkamah tentukan sama ada mereka betul atau tidak melalui siasatan. Negara kita mempunyai badan-badan tertentu, mengamalkan kedaulatan undang-undang dan setiap laporan serta tuduhan yang dikemukakan boleh disiasat.

“Saya yakin dan percaya bahawa sesiapa yang didapati bersalah akan didakwa. Jadi, biarlah mahkamah yang akan menjatuhkan hukuman ataupun mengadili kes-kes tersebut. Cumanya sekarang ini, makin ramailah kluster mahkamah.

“Kalau dahulu, UMNO sahaja kluster mahkamah. Sekarang PN juga kluster mahkamah. Pakatan Harapan (PH) dah memang ada kluster mahkamah dari dahulu. Maka, janganlah mengata orang. Kadang-kadang perkara ini akan terkena balik kepada kita,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh turut meminta semua pihak untuk bersabar dan menunggu sehingga proses siasatan selesai.

“Sebab itulah kita kena bersabar, tunggu siasatan dan juga pendakwaan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Cuba sedaya upaya untuk mempertahankan bahawa mereka tidak bersalah dan saya sentiasa mengambil pendekatan you are innocent until you are proven guilty.

“Saya harap supaya peristiwa ini akan menyedarkan lagi Malaysia tentang betapa pentingnya mahkamah ini untuk mereka yang bersalah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan untuk bertanding jawatan MKT pada pemilihan musim ini dalam usaha memulihkan semua UMNO.

“Saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan MKT dan saya harap bahawa dengan sedikit pengalaman yang saya ada sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan sebagainya, saya yakin dapat memberikan sumbangan kepada parti untuk kita memulihkan kembali serta mengembalikan roh perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.