Wanita Jiwa Sebenar UMNO… Lambang Ketabahan Dan Keterujian – Noraini

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Jiwa sebenar UMNO datangnya daripada Wanita dan parti akan luntur rohnya tanpa kehadiran mereka.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain daripada setia kepada parti dan perjuangan, Wanita UMNO juga adalah lambing ketabahan dan keterujian.

“Jiwa sebenar UMNO datangnya dari Wanita UMNO. Hakikatnya, tanpa Wanita UMNO, parti ini akan luntur rohnya.

“Wanita bukan sahaja setia kepada parti dan perjuangan, Wanita juga adalah lambang ketabahan dan keterujian. UMNO telah ditimpa pelbagai ujian dan cabaran, tetapi saya yakin UMNO tetap parti masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Disamping mengumumkan bahawa beliau menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan disandangnya, Noraini membawa azam untuk terus mengemudi kepimpinan Wanita UMNO dan terus berkhidmat kepada parti, rakyat dan negara.

“Saya Noraini Ahmad ingin menawarkan diri untuk terus berkhidmat kepada parti, rakyat dan Negara. Pengalaman mengemudi wanita dalam keadaan parti kalah dan wibawa parti kita dipersoalkan, membulatkan tekad saya untuk terus memimpin Wanita selari dengan kepimpinan parti.

“Masa hadapan yang lebih mencabar menuntut Wanita untuk lebih dimartabatkan dalam parti, melahirkan lebih ramai pemimpin yang berwibawa, gerak kerja yang lebih mantap, dan diterima sebagai gerakan amal bakti paling diyakini rakyat.

“Saya akan melakukan segala yang terdaya dengan segala kudrat dan kiradat yang saya ada untuk meningkatkan kredibiliti Wanita di dalam Parti. Dengan berkat dukungan semua, Insya-Allah, kita sama-sama akan lakukan yang terbaik untuk Wanita UMNO, parti keramat UMNO dan bangsa Melayu.

“Hanya kepimpinan Wanita yang berintegriti tinggi, berjiwa kental lagi teruji sahaja berupaya untuk menyegarkan lagi parti ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.