Pemilihan UMNO: Noraini Harap Perwakilan Pilih, Nilai Secara Bijak

 

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa Wanita UMNO kekal bersetia dan bekerja tidak berbelah bahagi biarpun semasa menjadi pembangkang dan kemudiannya sebahagian daripada kerajaan. 

Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mengharapkan pada semua perwakilan khususnya Wanita UMNO dapat memberikan peluang sekali lagi kepada dirinya bagi menerajui Ketua Wanita UMNO.

“Saya mengharapkan agar diberi peluang sekali lagi untuk menerajui Wanita UMNO. Wanita ini setia dikala kalah, sentiasa bersama termasuk dikala menjadi sebahagian dari kerajaan.

“Dalam wanita susah senang kita bersama kerana itu Wanita UMNO adalah wanita yang luar biasa dan apa yang diharapkan pada 11 Mac nanti perwakilan terutamanya di dalam Wanita UMNO dapat memilih dan menilai secara bijak,” katanya.

Beliau ditemui oleh UMNO Online ketika menghantar borang pemilihan UMNO bagi sessi 2023/2026 di Auditorium UMNO, aras 4 Menara Dato’ Onn, hari ini.

Noraini berkata bahawa UMNO tetap mengamalkan demokrasi dan mengalu-alukan sesiapa yang mahu bertanding di jawatan tersebut.

“Kita mengalu-alukan proses demokrasi di dalam UMNO ini dan sememangnya tidak ada halangan sesiapa yang menawarkan diri untuk apa-apa jawatan pun termasuk juga dalam Wanita UMNO,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.