Pemilihan Bukti UMNO Parti Demokratik, Pilihan Yang Benar-benar Ikhlas Demi Perjuangan – Norsabrina

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menegaskan bahawa UMNO adalah parti demokratik sebagaimana pelaksanaan pemilihan yang sedang berlangsung sekarang ini.

Katanya, jika UMNO tidak demokratik maka tentunya tidak ada pemilihan walhal sekarang ini sedang berlangsung pemilihan dari peringkat Cawangan yang kemudiannya peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seterusnya disusuli peringkat Bahagian dan pusat.

“Saya dalam UMNO merasakan parti ini memang demokratik kerana kalau tak demokratik maka tak dibuatlah pemilihan sebaliknya tentu dah ditetapkan siapa-siapa yang patut dipilih oleh kepimpinan sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Apabila dibuat proses pemilihan maka inilah proses demokrasi jadi selamat memilih dan mohon pilihlah orang yang betul-betul sayangkan parti, yang nak teruskan perjuangan UMNO dan yang nak pulihkan parti ini sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas selesai menghantar borang pencalonan bagi menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn semalam.

Ujar Norsabrina, beliau melihat pemilihan kali ini akan lebih meriah kerana semua orang yang layak bertanding dan boleh menawarkan diri berteraskan kepada agenda masing-masing.

“Kita perlu melihat kepada agenda iaitu sama ada untuk diri sendiri, atau keluarga, kawan-kawan atau untuk kebersamaan dan kesepakatan tetapi keutamaan adalah mesti untuk bersama-sama dalam satu landasan demi kembalikan kekuatan dan kepercayaan ahli, orang UMNO dan juga rakyat keseluruhannya.”

Lantaran itu, jelasnya, beliau menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia atas rasa kebertanggungjawaban untuk sama-sama memberi sumbangan kepada parti.

“Dengan rasa kebertanggungjawaban, rasa rendah diri dan rasa sangat sayangkan UMNO saya menawarkan diri sebagai salah seorang untuk jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia.

“Saya berharap keikhlasan dan juga keprihatinan atas tanggungjawab ini maka saya akan diiterima dalam barisan kepimpinan Exco Wanita UMNO Malaysia bagi memberi sedikit sumbangan kepada Wanita UMNO Malaysia untuk bersama-sama meneruskan perjuangan agar dapat menguatkan perjuangan dan ke arah pemulihan parti UMNO ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Wanita akan terus menjadi tulang belakang dan penyokong yang setia kepada UMNO dan ibu kepada anak-anak UMNO serta menjadi pelengkap kepada keluarga besar UMNO ini.”

Katanya, beliau sedar bahawa peranan yang sangat besar amat diperlukan untuk bersama-sama bergabung bagi menjayakannya.

“Saya berharap UMNO melihat nilai yang sedikit kepada saya ini untuk sama-sama memantapkan, memperkasakan dan juga bersama-sama memulihkan parti bagi mendapat kepercayaan semula daripada ahli, pengundi dan rakyat untuk menerima dan melihat UMNO kembali cemerlang dan terhebat pada masa hadapan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.