Nasir Search Hantar Borang Pencalonan… Bertanding Pemilihan UMNO?

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pemain bass terkenal dari kumpulan Search, Nasir Daud telah menghantar borang pencalonan pada pemilihan UMNO bagi sessi 2023/2026, semalam. 

Namun katanya yang lebih dikenali sebagai Nasir Search, pendaftaran ini bukan untuknya tetapi untuk isterinya Noraziah Saadon.

“Saya bukannya datang hendak bertanding pada pemilihan UMNO 2023/2026, tetapi hadir mewakili isteri kerana dia ada mesyuarat di UMNO Bahagian Kulai, Johor.

“Saya menghantar borang pemilihan ini untuk isteri saya Noraziah Saadon yang menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO dan doakan kejayaan beliau.

“Sebagai suami saya menyokong sepenuhnya beliau bertanding kerana telah lama terlibat dalam bidang politik, lebih 20 tahun. Penglibatannya semenjak dari muda sehingga sekarang dan inigin menceburi dengan lebih serius lagi dalam UMNO,” katanya.

Beliau ditemui UMNO Online ketika mendaftar di Auditorium aras 4, Menara Dato’ Onn di sini.

Jelas Nasir, beliau mengharapkan agar seluruh ahli UMNO dapat menyokong isterinya bagi jawatan tersebut.

“Saya harap warga UMNO dari seluruh negara dapat memberi sokongan dan ‘support’ Noraziah Saadon dari UMNO Bahagian Kulai bagi jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia,” ujarnya.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.