PRN: Pembahagian Kerusi Mula Dibincangkan Dalam Mesyuarat Sekretariat Perpaduan

PUTRAJAYA, 23 Feb – Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri dengan parti di bawah Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, telah mula dibincangkan namun belum dimuktamadkan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Kemajuan Orang Asli di sini hari ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata persediaan enam negeri ke arah PRN, juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Dan kita akan menjalin kerjasama antara parti politik sedia ada, namun calon BN akan kekal menggunakan lambang BN dalam PRN enam negeri ini,” katanya mengulas laporan media mengenai enam negeri itu yang bersepakat untuk menimbangkan pembubaran DUN masing-masing, dalam dua minggu terakhir pada Jun nanti bagi memberi laluan kepada PRN.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebook miliknya semalam memaklumkan kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang di Kuala Lumpur, sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 yang bersidang selama dua hari bermula semalam.

Amirudin berkata persefahaman itu akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing, sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang di-Pertuan Besar serta Tuan Yang Terutama masing-masing.

Dalam hantaran yang sama Amirudin turut berkongsi foto beliau bersama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang turut memuat naik foto pertemuan menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dalam hantaran Facebooknya berkata, beliau berpendapat tarikh paling sesuai bagi pembubaran DUN ialah pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun 2023.

Chow pula dalam catatan Facebook berkata: “Bagi tarikh Pilihan Raya Negeri, ia adalah tanggungjawab perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat keputusan,”. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.