Pemilihan UMNO: Ahmad Maslan Ingatkan Tarikh Tutup Pencalonan Pada Ahad, 26 Februari

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan ahli-ahli UMNO yang berminat untuk bertanding dalam pemilihan parti sesi 2023-2026 bahawa tarikh akhir penghantaran borang pencalonan pada hari Ahad ini, 26 Februari jam 5.00 petang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Pontian meluangkan masa meninjau lokasi penyerahan borang pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

“Saya harap semua ahli UMNO yang berminat untuk bertanding jangan lupa tarikh penutupannya iaitu pada hari Ahad 26 Februari, jam 5 petang. Selepas jam 5 petang biasanya kaunter pendaftaran tidak akan menerima selepas itu,” katanya.

Beliau berpuas hati dengan perjalanan pelaksanaan berkaitan penyerahan dan penerimaan borang pencalonan yang membabitkan jawatan-jawatan bagi Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO.

Dalam masa yang sama beliau menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad serta urus setia ekoran pelaksanaan proses pendaftaran yang berjalan lancar.

“Saya juga merakam ucapan berbanyak terima kasih terutamanya Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad dan petugas-petugas yang terlibat dalam proses pemilihan ini dengan baik.

“Selamat maju jaya pada semua,” katanya.

Terdahulu, pendaftaran bagi Pemilihan UMNO 2023-2026 yang telah bermula sejak 13 Februari lalu dibuka setiap hari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Calon-calon yang ingin mendaftar bagi Pemilihan UMNO 2023 ini boleh memuat turun borang di laman sesawang www.umno-online.my (klik di sini untuk muat turun borang). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.