Pemilihan Matlamat Kembalikan Kekuatan UMNO Untuk Depani Enam PRN – Fathulbari

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Saingan musim pemilihan pada kali ini cukup hebat dengan satu matlamat iaitu mengembalikan kekuatan UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya berkata, parti perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya kira saingan kali ini cukup hebat dan rancak memandangkan semua pihak yang ingin berpatisipasi dengan bermatlamatkan mengembalikan kekuatan UMNO.

“Disebabkan ujian kekalahan yang kita hadapi, kemudian pada waktu yang sama juga hasil usaha kepimpinan untuk mengembalikan kekuatan parti dengan terlibat dalam pembentukan kerajaan.

“30 kerusi, satu nombor yang boleh dikategorikan sebagai takdir oleh Allah S.W.T, menjadikan mana-mana pihak tidak boleh membentuk kerajaan. Atas asas itu, setelah pembentukan kerajaan parti perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan PRN yang bakal kita hadapi, tentunya perlu jentera yang kuat, bersolidariti, berpadu bagi kita ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, semua ahli dan para perwakilan disarankan untuk membuat pilihan tepat dalam memilih barisan kepimpinan baharu sempena Pemilihan UMNO kali ini.

“Saya harap, ahli-ahli UMNO dan para perwakilan semua membuat pilihan yang tepat, sebaik mungkin untuk kelangsungan parti. Ini bukan soal orang tertentu, tetapi ini soal kelangsungan perjuangan kita demi agama, bangsa dan juga negara.

“Sebab itu, banyak perkara saya kira perlu diperhalusi sepert soal dinamika UMNO dalam situasi sekarang, lanskap politik yang pada saya berubah selepas puluhan tahun. Kedinamikan UMNO itu perlu ditonjolkan di samping kita menjaga perpaduan sesama kita yang perlu diperkuatkan dari semasa ke semasa dan membawa impak kepada rakyat seluruhnya.

“Saya kira, parti berusaha untuk memulihkan imej parti sendiri dan kita juga berharap kekuatan kita itu akan kembali dan mendapat semula kepercayaan rakyat di bawah. Hari ini pun beberapa kes kepimpinan Perikatan Nasional (PN) telah mula didakwa dan itu salah satu perkara yang sebelah sana pun perlu bermuhasabah. Jangan asyik menunding jari ke sebelah sini dan demikian juga sebelah sini jangan asyik menunding jari ke sebelah sana,” katanya lagi.

Katanya lagi, UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin disebabkan keterbukaan UMNO yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada anak muda untuk bergiat aktif.

“Saya kira pemimpin muda di dalam UMNO ini sebenarnya ramai dan bermula daripada pilihan raya yang lepas, parti telah memberikan ruang begitu besar kepada calon-calon muda. Ada yang menang, ada yang kalah. Itu merupakan satu pelajaran dan pengajaran.

“Kepada yang menang, perlu bekerja keras untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada parti dan demikian juga yang kalah, perlu berusaha lebih keras untuk melakukan hal yang sama.

“Jadi saya kira keterbukaan ini menggambarkan betapa ahli-ahli parti sendiri begitu serius untuk terlibat sama dalam memberikan nafas baharu kepada perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.