Mari Kita Bina Semula ‘Rumah Kita’, Pastikan Kelestarian UMNO – Jalaluddin

 

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengajak seluruh ahli parti untuk sama-sama menyusun semula kekuatan dalam usaha memastikan UMNO terus segar melayari perjuangannya.

Beliau yang sekali lagi menawarkan diri untuk jawatan Ahli MKT pada penggal akan datang berkata perjuangan UMNO amat bernilai dan cukup bermakna kepada orang Melayu khususnya dan seluruh rakyat.

“Saya telah selesai menyerahkan borang pemilihan UMNO di Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur. Dengan ini, saya ingin menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi sesi 2023-2026.

“Marilah sama-sama kita menyusun semula kekuatan dan kesepaduan parti untuk sebuah perjuangan yang cukup bermakna dan bernilai ini.

“Saya amat berharap agar mendapat keizinan serta mandat sekali lagi untuk saya meneruskan sumbangan selaku Ahli MKT UMNO,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Jelebu seterusnya menambah setiap keizinan yang diberikan oleh ahli parti akan diterjemahkan sebaiknya bersama rakan-rakan kepimpinan lain untuk memastikan kelestarian UMNO.

“Insha-Allah, setiap keizinan yang diberikan oleh ahli parti akan saya terjemahkan dalam bentuk khidmat dan setia pada parti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.