‘Sinergi Bersama’ Demi Masa Depan, Satu Haluan Teruskan Perjuangan UMNO – Husna

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Slogan ‘Sinergi Bersama’ adalah kunci utama untuk masa depan perjuangan parti, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya Husna Abdul Rahaman.

Ini kerana katanya ianya bukan sekadar slogan sebaliknya kebersamaan di dalam parti bagi memperkukuhkan UMNO untuk meneruskan perjuangan bagi mengembalikan keyakinan semua golongan.

“Sinergi Bersama adalah tagline utama saya yang bermaksud tindakan bersama dengan lebih berkesan demi masa depan, satu haluan, satu tujuan untuk perjuangan parti dan dengan ini kita akan dapat buktikan pada rakyat bahawa parti kita mempunyai barisan yang kukuh di semua peringkat akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan turut menawarkan diri dalam jawatan Exco Wanita mengharapkan penglibatannya akan dapat memberi sumbangan tenaga dan pemikiran untuk mengembalikan UMNO sebagai parti yang kukuh.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Exco Wanita dan dalam masa yang sama dapat memberi idea serta sumbangan tenaga pada barisan exco Wanita nanti dengan membawa suara Wanita UMNO dari pelbagai latarbelakang.

“Pengalaman berada di dalam UMNO menjadikan saya ingin terus menyalurkan khidmat setelah lama menjadi ahli di akar umbi, pernah menjadi Ketua Puteri Bahagian Putrajaya dan kemudian kini Ketua Wanita Putrajaya dan juga Ketua Penerangan Wanita Wilayah Persekutuan.”

Tambah Husna lagi, UMNO telah lama mengamalkan demokrasi maka setiap ahli berhak menawarkan diri dalam pemilihan parti ini.

“Setiap orang berhak menawarkan diri dan mempunyai kelebihan serta kekuatan diri masing-masing malah tahu apa yang ingin ditawarkan pada parti, itulah demokrasi dalam parti ini.

“Dalam masa yang sama kita perlu menghayati diri kita, malah kita hendak bertanding dengan cara yang sihat dan tidak memburukkan sesama sendiri.

“Keharmonian dan demokrasi dalam parti telah terbukti dan akar umbi perlu ingat perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara … tidak untuk kepentingan diri,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.