Rangka Polisi Terbaik, Dekati Anak Muda Raih Sokongan Kepada UMNO – Ikmal Hazlan


KUALA LUMPUR, 22 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berpandangan sayap parti ini memerlukan suatu langkah drastik yang terbaik dalam mendekati anak muda.

Katanya ini kerana, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membawa mesej tersendiri daripada golongan terbabit terhadap penerimaan mereka kepada UMNO.

“Saya kira ini adalah waktu yang tepat kerana kita tidak boleh menolak lagi bahawa UMNO berada dalam keadaan kritikal apabila kita kalah kepada semua saluran anak muda.

“Tambahan pula dengan kedudukan UMNO sebagai sebahagian dalam kerajaan maka saya yakin suara anak muda boleh diterjemahkan melalui Pemuda UMNO dan kita lakukannya di Parlimen dan zahirkan melalui polisi serta pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Pengerusi Biro Antarabangsa itu turut sama memaklumkan bahawa beliau menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Pemilihan UMNO 2023/2026 ini.

Menurut beliau, berbekalkan komitmen dan pengalaman diraih sepanjang berada dalam arena politik dan perniagaan, maka ia akan digunakan sebaiknya dalam meraih minat golongan muda kepada parti keramat ini.

“Dengan tenaga dan iltizam yang dibawa sepanjang memegang tampuk Exco Pemuda UMNO Malaysia dengan memegang jawatan Biro Antarabangsa usaha dan pengalaman dimiliki saya akan curahkan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia .

“Pengalaman dimiliki ini sebagai seorang ahli perniagaan boleh menarik minat anak muda kerana umur seperti 20-an ini umur mereka mencari rezeki, membina keluarga dan pelbagai.

“Saya akan bersama dengan golongan ini dengan cara lebih holistik bagi eratkan anak muda dengan UMNO malah saya lihat bahawa pemantapan sayap-sayap Pemuda harus diremajakan kerana sudah lama kita bercakap berkenaan ini.

“… dan usaha yang saya tawarkan ini boleh diterjemahkan melalui pencalonan malah sepanjang pertemuan dengan Pemuda saya melihat kehadiran dan keinginan perwakilan-perwakilan Pemuda secara jelas menunjukkan bahawa mereka mahu perubahan dalam kepimpinan pemuda dari segi peremajaannya, pembawakan dan lain-lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.